KEMENTERIAN Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meneliti semula syarat yang menetapkan pemaju perumahan menyediakan rumah mampu milik di setiap projek mega.
Tindakan itu susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu syarat tersebut dikaji semula memandangkan berlaku ketidakpatuhan yang menyebabkan pemaju tidak mengikut jadual dan skala ditetapkan.
Menteri KPKT, Ngar Kor Ming berkata, langkah meneliti semula syarat itu salah satu inisiatif secara kolektif di antara kerajaan dengan pemaju perumahan.
“Ini kerana setiap pemaju perumahan swasta perlu mematuhi syarat yang telah diwajibkan untuk membina sekurang-kurangnya 30 peratus rumah mampu milik dalam projek perumahan mega sejak 1981,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Melalui kenyataan sama beliau turut berkata, syarat baharu tersebut diteliti agar selari dengan kajian Dasar Perumahan Negara baru dan Dasar Perumahan Mampu Milik demi memastikan pihak swasta terlibat secara aktif di dalam menawarkan rumah mampu milik mengikut lokaliti.
Terdahulu Nga berkata, KPKT menyambut baik pengumuman Perdana Menteri bahawa pemaju perumahan swasta perlu turut sama bertanggungjawab untuk membina rumah mampu milik.
![]() |
KPKT akan semak semula syarat ditetapkan |
Perdana Menteri semasa Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia Madani Dalur di Presint 18, Putrajaya pada Khamis melahirkan rasa kecewa kerana banyak projek rumah mampu milik tidak mengikut masa dan skala ditetapkan.
0 Comments