Pemimpin Pemuda Umno gesa Tun M berhenti hasut orang Melayu

BEKAS Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia digesa berhenti menghasut masyarakat Melayu dengan naratif “lapuk” dan “memecahbelahkan” tentang ketaksamaan antara kaum.

Pengerusi tetap Pemuda Umno Wan Agyl Wan Hassan berkata Mahathir yang dua kali menggalas jawatan perdana menteri tentu sedar tentang ketaksamaan dalam kedua-dua komuniti itu.

“Kamu tak boleh lakar gambaran seolah-olah semua Cina kaya dan semua Melayu miskin. Semua orang tahu ini tak benar.

“Walaupun ada ramai orang Melayu yang miskin dan mereka membentuk sebahagian besar B40, terdapat juga ramai orang Melayu yang mewah, daripada usahawan sehinggalah tokoh korporat.

“Mahathir sendiri memainkan peranan besar dalam memastikan ramai orang Melayu dapat akses kepada peluang-peluang untuk menambah baik prospek kerjaya dan pendapatan mereka.

“Dalam masa sama, ramai orang Cina, India, Kadazan, Iban, dan sebagainya yang bergelut untuk mencukupkan keperluan,” katanya.

Wan Agyl mengulas catatan Mahathir di media sosial yang mengingatkan pelajar Malaysia di London tentang ketaksamaan antara Cina kaya dan Melayu miskin, yang menurut bekas Ahli Parlimen Langkawi itu boleh membawa kepada konflik.

Tambah Wan Agyl, melihat ketaksamaan dari kaca mata perkauman hanya mengundang perasaan benci dalam masyarakat berbilang kaum, serta tidak membantu menyelesaikan masalah yang mencengkam golongan miskin.

Mahathir digesa berhenti main naratif lapuk
“Sebaliknya, kita patut tumpu kepada, pertama sekali membesarkan ekonomi negara supaya lebih banyak kemewahan tersebar.

“Kedua, menyasarkan langkah-langkah campur tangan kepada golongan memerlukan, tanpa mengira kaum dan agama. Ini caranya kita boleh kurangkan ketaksamaan,” katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments