INISIATIF yang bertujuan untuk mengajar murid tanggungjawab menjaga kebersihan tandas seperti dicadangkan Perdana Menteri bakal dilaksana tidak lama lagi.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek melalui hantaran di laman Facebooknya berkata, kementeriannya akan berusaha untuk melaksanakan idea tersebut yang bertujuan menjaga kebersihan dan membina sahsiah itu.
Jelasnya, penerapan amalan menjaga kebersihan tandas akan dilakukan melalui "program sedia ada" seperti kesedaran tentang kebersihan, dan advokasi untuk mengajar kanak-kanak cara menggunakan tandas dengan betul.
"Kebersihan tandas adalah program jangka panjang Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan (3K) yang mensasarkan semua tandas sekolah KPM mencapai minimum TIGA (3) bintang pada akhir tahun 2025 sebagai satu standard kualiti yang perlu dicapai setiap sekolah," katanya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan D’ Anjung Selera Madani Jalan Jujur, Bandar Tun Razak pada Sabtu mencadangkan supaya anak-anak juga harus dididik supaya mencuci tandas bagi memastikan tahap keselesaan serta kebersihannya terpelihara.
![]() |
Langkah bagi membina sahsiah diri pelajar |
Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kebangsaan menyokong idea itu, dan mencadangkan agar pelajar yang mempunyai masalah disiplin diambil untuk mengambil bahagian terlebih dahulu.