RUNDINGAN bagi baki dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya negeri (PRN) diserahkan kepada kepimpinan di peringkat pusat untuk keputusan selanjutnya.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu susulan tempoh perbincangan antara PH dan BN bagi pengagihan kerusi di Selangor sudah tamat.
"Sekarang ini, perbincangan sudah tamat dan baki kerusi akan diserahkan kepada pimpinan peringkat pusat untuk dimuktamadkan.
"Setakat ini boleh dikatakan 95 peratus pembahagian kerusi telah selesai dan boleh mula bekerja pada bila-bila masa," katanya kepada pemberita di Majlis Penutup Karnival Kerjaya Mega Selangor di Shah Alam pada Ahad.
Dalam pada itu, Amirudin berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) khas yang diadakan sejak Jumaat lalu adalah untuk memastikan beberapa perkara termasuk keputusan dasar dapat diselesaikan sebelum pembubaran DUN.
"Kita dah selesaikan majoriti isu-isu yang tertunggak yang mana sekarang hanya tinggal 67 kertas kerja.
![]() |
95 peratus rundingan di Selangor dimuktamadkan |
"Setidaknya, keputusan dasar tanah atau hal berkaitan pembangunan yang dipohon pemaju dapat diselesaikan dan mereka boleh membayar premium.
"Justeru, kita tidak akan terkesan sangat dari segi kutipan hasil," katanya.
0 Comments