DAKWAAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan menghadapi krisis kepimpinan dan kewangan atau dwikrisis ditempelak Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu, dakwaan Muhyiddin hanya bertujuan mengalihkan perhatian rakyat tentang 'kegagalan' dan ‘kisah silamnya’ sewaktu menjadi Perdana Menteri.
Hakikatnya tegas Nik Nazmi, Muhyiddin adalah antara pelopor utama kepada krisis berkenaan sebelum ini dan ia jelas dibuktikan menerusi tindakan Ahli Parlimen Pagoh itu yang terlibat menangguh sidang Parlimen semasa Darurat 2021 akibat pandemik Covid-19.
“Pada masa yang sama, kerajaan PN secara tidak malu mendakwa Ordinan Darurat hanya akan dibatalkan pada Julai 2021, padahal Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak bersetuju.
“PN sendiri menolak untuk menyertai Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Pembangkang sebenarnya enggan mengakhiri isu ‘krisis kepemimpinan’ yang mereka sendiri ciptakan, tetapi mereka ingin menyalahkan Pakatan Harapan (PH),” kata Nik Nazmi dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Sementara itu jelas beliau, Kerajaan Perpaduan pimpian Datuk Seri Anwar Ibrahim telah sedaya upaya berusaha menangani krisis kos sara hidup rakyat sejak hari pertama.
Ia termasuk melindungi segmen golongan berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) daripada kenaikan harga elektrik berbanding kerajaan sebelum yang bertindak sebaliknya.
“Bajet 2023 yang telah diluluskan pada awal tahun ini merangkumi pelepasan cukai yang memberi manfaat kepada golongan kelas menengah yang sering dilupakan.
![]() |
Pembangkang cuba letak kesalahan pada PH |
“Kerajaan juga telah berjaya menarik pelaburan berbilion ringgit daripada syarikat-syarikat multinasional seperti Amazon Web Services (AWS) dan Tesla.
“Kami sedang berusaha dalam aktiviti ekonomi baharu seperti peningkatan kapasiti penghasilan tenaga boleh baharu (RE) dan perdagangan rentas sempadan,” tambahnya.
0 Comments