Hannah Yeoh puas hati dengan pencapaian atlet di Sukan SEA

 


KEMENTERIAN  Belia dan Skan (KBS) akan meneliti prestasi cemerlang yang ditampilkan atlet di Sukan SEA bagi peruntukan dana dalam memastikan pembangunan dan kecemerlangan sukan dapat diteruskan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata begitu kepada pemberita pada Bengkel Serantau YSEALI Game Changers di Kuala Lumpur pada Khamis susulan
pencapaian atlet muda negara di Sukan SEA, Kemboja yang dianggap membanggakan.

"Kita akan meneliti data yang ada selepas semua selesai dan membuat kajian untuk melihat atlet cemerlang dalam suatu sukan, adakah ia disebabkan jurulatih atau latihan luar negara, dan pada yang menang sukan itu kita akan letak lebih banyak dana untuk pembangunan sukan tersebut," katanya.

Menyentuh mengenai prestasi atlet negara di kejohanan Sukan SEA itu, Hannah berkata beliau berpuas hati apabila atlet berjaya menyumbang pingat emas buat negara meskipun baru pertama kali beraksi di kejohanan dwitahunan itu.

Jelasnya walaupun ada beberapa sukan yang menjadi sasaran pingat tidak menepati ramalan, namun gembira apabila jenis sukan seperti silat, wushu, golf dan karate menampilkan prestasi di luar jangka dengan menghadiahkan pingat emas buat negara melebihi sasaran.

"Setakat ini kita melihat silat sangat cemerlang, karate, wushu, golf dan olahraga serta banyak sukan, kita tumpang gembira dengan atlet muda sebab kebanyakan mereka kali pertama (bersaing di Sukan SEA).

KBS akan usaha dana tingkat kecemerlangan sukan
"Ini memang sifat sukan, ia kompetitif, kadang-kadang menang dan kalah, tapi kalau kalah kita akan pastikan apa faktor kekalahan, kita tangani dan bantu kurangkan risiko kekalahan pada masa hadapan," katanya.

Setakat ini, kontinjen negara berada di kedudukan ketujuh carta pingat dengan memungut 21 pingat emas, 22 perak dan 42 gangsa.