KERAJAAN PERPADUAN akan menangani masalah berkaitan bekalan air di negeri Kelantan tanpa mengira fahaman politik, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Pendirian itu dinyatakan dalam ucapan di Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berkata, beliau telah mengadakan perbincangan ringkas dengan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad serta Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob berhubung perkara itu.
Malah, telah mempersembahkan ‘hasrat’ itu pada sesi menghadap Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Kelantan di Kubang Kerian, petang semalam.
“Kelantan ini hadapi masalah air agak serius, jadi saya nak cadangkan supaya kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau turut berkata, tidak wajar selepas merdeka lebih 60 tahun Kelantan terus menghadapi masalah berkaitan bekalan air pengguna dan masalah politik yang tidak berkesudahan hanya akan membebankan rakyat.
“Oleh yang demikian saya menyeru (penyelesaian) dan ini pendirian kerajaan perpaduan kita akan cari dana, jalan penyelesaian tetapi mesti kaedah yang betul dan mendapat kerjasama penuh kerajaan negeri,” tambahnya lagi.
![]() |
Lebih 15,000 hadiri rumah terbuka malam tadi |
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, Fadillah Yusof,Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Kira-kira 14 jenis juadah disajikan kepada orang ramai pada majlis itu seperti lauk kambing, sate, lemang, ketupat, rendang, pelbagai jenis masakan mi dan laksa, kuih-muih dan sebagainya.
pengunjung turut mengambil kesempatan untuk bersalaman dan berswafoto dengan perdana menteri.
0 Comments