SATU Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Akta Syarikat 2016 bakal dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Ke-15 pada Mei ini.
Difahamkan, penambahbaikan dan pindaan itu akan membolehkan syarikat yang menghadapi masalah kewangan memohon proses rehabilitasi korporat yang bersesuaian agar syarikat boleh terus beroperasi.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata, pindaan berkaitan perundangan sedia ada itu dirangka Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
“Jemaah Menteri telah meluluskan polisi RUU tersebut dan sekarang menunggu kelulusan daripada pihak Jabatan Peguam Negara.
“Selepas Dewan Rakyat, RUU itu kemudiannya akan dibentangkan di Dewan Negara dan perlu diwartakan sebelum boleh dikuatkuasakan,” katanya pada satu sidang media semalam.
Ahli Dewan Rakyat itu sebelumnya hadir ke Majlis Sambutan Ulang Tahun SSM Ke-21 di Kuala Lumpur.
Sementara itu Pengerusi SSM Ahmad Sabki Yusof ketika mengulas mengenai pindaan itu berkata, ia satu inisiatif penting untuk membantu sektor korporat yang menghadapi masalah kewangan, terutamanya akibat daripada kesan pandemik COVID-19 agar dapat kekal beroperasi dan menjana ekonomi negara.
RUU yang akan dipinda itu juga akan memperkenalkan peruntukan untuk mengukuhkan polisi berhubung kerangka pelaporan pemunyaan benefisial yang komprehensif.
“Pindaan ini untuk mengelak syarikat daripada penggulungan, berdaya maju dari segi kewangan dan terus berniaga.
“Sekiranya tiada mekanisma penyelamat korporat, ini bermakna pemiutang boleh mengambil tindakan undang-undang dan memohon pengisytiharan insolvensi, justeru, kami mahu mengelakkannya,” katanya dipetik.
Dalam perkembangan berkaitan. Fuziah turut menggesa peniaga mikro untuk tampil dan berdaftar secara sukarela dengan SSM.
![]() |
Fuziah gesa lebih ramai peniaga mikro daftar SSM |
“Sekiranya mereka mahu memohon untuk subsidi bersasar seperti peniaga pasar malam, penjaja dan pengusaha warung, sebaik-baiknya mereka berdaftar kerana mereka menggunakan minyak dalam kuantiti yang banyak,” jelas Fuziah.
0 Comments