Kerajaan perluas elaun ‘on call’ kepada pegawai perubatan


KERAJAAN
bersetuju untuk memperluas elaun ‘on call’ kepada pegawai perubatan di enam klinik kesihatan yang terlibat dalam projek rintis bagi menangani kesesakan di hospital.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa berkata, peluasan elaun itu turut dipanjangkan merangkumi hari kelepasan mingguan.
 
"Kerajaan bersetuju bahawa elaun tugas pegawai perubatan selepas waktu pejabat yang ‘on call’ di klinik kesihatan dan jabatan kecemasan hospital dan waktu peluasan dipanjangkan merangkumi hari kelepasan mingguan.

"Saya juga telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MoF) untuk mengkaji kemudahan ini supaya ia dipanjangkan kepada semua selain pegawai perubatan," katanya menjawab soalan tambahan Wilfred Madius Tangau (HARAPAN-Tuaran).

Bekas Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu sebelumnya mahu tahu sama ada kerajaan bercadang untuk menaikkan jumlah elaun ‘on call’ kepada doktor.

Usaha kukuh perkhidmatan kesihatan
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, walaupun kadar semasa elaun ‘on call’ adalah bersesuaian, ia perlu ditambah kerana ketika ini, elaun itu tidak merangkumi kepada pegawai perubatan yang bertugas di klinik kesihatan atau jabatan kecemasan hospital.

"Kadar semasa elaun tugas on call sama ada berkhidmat secara tetap atau kontrak yang diarah menjalankan tugas panggilan selepas waktu bekerja biasa di hospital kerajaan, hospital universiti, hospital Angkatan Tentera Malaysia atau hospital klinik desa, masih bersesuaian dengan penetapan kadar mengikut hari tugas jam.

"Ia masih bersesuaian berbanding dengan kadar elaun-elaun lain yang diterima oleh perkhidmatan lain," jelasnya.


Post a Comment

0 Comments