Titah Sultan Johor bukti keyakinan terhadap pentadbiran Anwar


CORAK
  pemerintahan ditonjolkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja diterima baik oleh rakyat tetapi juga 'meresap' sehingga ke istana, kata seorang penganalisis politik.

Pandangan itu dinyatakan Dr Mazlan Ali dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur sebagai merujuk penzahiran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang memuji Kerajaan Perpaduan pimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu baru-baru ini.
 
"Penzahiran Tuanku Sultan Ibrahim pastinya berdasarkan kepada sifat Tuanku sebagai ketua negeri dan sultan bagi negeri Johor yang secara umumnya berperanan di dalam sistem federalisme, iaitu hubungan di antara Persekutuan dengan negeri.

"Dengan pengalaman luas dalam hal federalisme, sudah pasti kenyataan Tuanku Sultan ini menunjukkan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar sudah berada pada satu landasan yang begitu baik dan mampu untuk kembali memacu pertumbuhan serta kemajuan negara," jelasnya.

Terdahulu, Sultan Ibrahim menerusi temu bual dengan sebuah akhbar tempatan pada Khamis menyifatkan hubungan antara kerajaan Persekutuan dan Johor bertambah baik di bawah kepimpinan Anwar.

Malah menurut baginda, kerjasama itu adalah lebih baik berbanding mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

Mazlan sifatkan cara pentadbiran Anwar diterima baik
Sementara itu Mazlan ketika mengulas titah Sultan Ibrahim supaya Kerajaan Perpaduan meneruskan usaha membersihkan perlakuan rasuah tanpa mengira sesiapa berkata, ia adalah atas keyakinan baginda terhadap keazaman dan konsisten Anwar melakukan 'reformasi' dan menentang rasuah sejak sekian lama.

"Saya percaya kenyataan Tuanku Sultan ini adalah atas keyakinan baginda terhadap keazaman, usaha-usaha dan tindakan yang dibuat oleh Anwar selaku Perdana Menteri dalam membersihkan negara daripada amalan rasuah dan memastikan tata kelola serta pentadbiran kerajaan yang lebih baik,” katanya dipetik.


Post a Comment

0 Comments