PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan tetap akan menyalurkan semua bantuan terus kepada golongan yang memerlukan termasuk mangsa banjir meskipun ia tidak disalurkan melalui Ahli Parlimen.
Beliau memberi jaminan itu sebagai mengulas gesaan Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Ahli Parlimen termasuk dari pembangkang diberikan peruntukan sekurang-kurangnya RM300,000 supaya mereka boleh menyalurkan bantuan kepada mangsa.
Mengambil contoh peruntukan RM50 juta untuk keperluan banjir di Johor, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan ia disalurkan kepada mangsa banjir dan bukannya kepada negeri yang terkesan akibat bencana itu.
Melalui langkah itu jelas Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu, bantuan kepada mangsa dapat segera disampaikan tanpa berdepan karenah birokrasi.
“Macam di Johor, RM50 juta diberi kepada yang memerlukan. Peruntukan Parlimen walaupun belum sampai pada Ahli Parlimen, ia (bantuan) sampai ke bawah (rakyat).
“Lagipun kos kita tiada komisen jadi ia terus kepada mangsa. Projek tebatan banjir disegerakan. Sebenarnya kalau ikut di Johor dah cecah hampir RM1 bilion termasuk projek tebatan banjir,” katanya.
Anwar ditemui pemberita selepas menghadiri Pameran Hari Kraf Kebangsaan 2023 di Kompleks Kraf di Kuala Lumpur pada Isnin.
![]() |
Langkah pastikan bantuan sampai segera |
“Bukan tak bagi, projek jalan di kampung macam RM50 juta pun, mereka bising (kata) zalim tidak bagi kepada negeri-negeri (pembangkang). Jadi guna istilah zalim, tidak adil atau guna al-Quran itu untuk ditunggangi puak itu.
"Projek (negeri) tidak kurang, (kerajaan) tidak potong. Ini hanya tohmahan politik sahaja,” tegasnya.