PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu mengumumkan beberapa inisiatif tambahan dalam Belanjawan 2023.
Beliau yang juga Menteri Kewangan mengumumkan inisiatif tambahan itu ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara.
Ia melibatkan bantuan Aidilfitri, melanjutkan pelepasan cukai individu dan berkaitan peruntukan kredit perumahan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).
“Memandangkan keadaan hidup rakyat ini masih terasa… saya teliti mana kohort yang tidak peroleh manfaat sebelum ini, masih ada masalah terutama pada bulan Ramadan dan Aidilfitri.
“Maka saya bersetuju salurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan sebanyak RM200 lagi, tambahan (kepada) apa yang telah diumumkan. Hal ini akan menelan belanja RM170 juta ringgit,” kata beliau.
Sebagai rekod, dalam Belanjawan 2023, pentadbiran Anwar mengumumkan bantuan RM300 sebulan kepada nelayan dan RM200 sebulan untuk pesawah padi untuk tempoh tiga bulan semusim. Sumbangan musim tengkujuh kepada golongan pekebun kecil getah turut dinaikkan daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan.
Dengan pengumuman itu, ia kini menjadikannya jumlah bantuan terbesar pernah disalur kerajaan kepada golongan tersebut.
Perdana Menteri turut mengumumkan 'duit raya' RM300 kepada pasukan sukarelawan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam, sukarelawan polis dan bomba.
“Saya sebut tadi ada kategori tidak dapat manfaat sama, kategori ini ialah sukarelawan... Ia berbeza daripada pekerja tetap, polis bantuan itu tidak termasuk, tapi kategori sukarelawan ini 200,000 orang, sehubungan itu menjelang Aidilfitri ini maka saya setuju beri sagu hati kepada mereka RM300,” kata beliau.
Pada masa yang sama, Anwar turut mengumumkan pelanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu, sehingga RM8,000 untuk simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sehingga 2024.
“Setelah mendengar keresahan disuarakan dan teguran kepada kerajaan (selepas pengumuman semalam), maka saya bersetuju untuk melanjutkan pelepasan cukai SSPN ini. Cadangan ini melibatkan kehilangan hasil kerajaan sekitar RM250 juta setahun, namun memberi manfaat kepada sekitar 400,000 pembayar cukai,” katanya.
Anwar turut mengumumkan mulai 1 April tahun ini, kerajaan akan memperluaskan sasaran Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) terhadap golongan berpendapatan tetap dan tidak tetap, bagi memiliki kediaman pertama yang memberi manfaat kepada golongan B40 dan M40.
![]() |
Anwar umum 'duit raya' untuk anggota sukarela |
"Inisiatif baharu ini adalah bukti komitmen Kerajaan Perpaduan untuk membawa perubahan kepada negara Malaysia, selain bukti ketegasan kerajaan untuk menambah baik tadbir urus bagi menjamin menjamin kesejahteraan rakyat keseluruhannya," kata Anwar di Dewan Negara.
0 Comments