PBT digesa atasi kelemahan dalam perancangan bandar

  


PIHAK berkuasa tempatan (PBT) di negara ini diminta agar memberi perhatian kepada kelemahan dalam isu perancangan bandar yang menjurus pembangunan semata-mata.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu program di Kuala Lumpur pada Khamis berkata, perhatian dan penyelesian terhadap isu pembangunan tidak seimbang itu perlu segera diselesaikan sekali gus memenuhi keperluan penduduk bandar.
 
“Kita lihat umpamanya keadaan tidak terkawal dan lebih parah bila ada kesenjangan kerana kota juga menzahirkan kawasan sesak, kawasan miskin bandar yang disebut slums, maknanya perancangan kita ada kelemahannya.

“Kita bangunkan bangunan yang tersergam indah, projek-projek mega kerana itu perlu untuk membangunkan (negara) tetapi kita lupa bahawa yang bekerja itu (penduduk) juga memerlukan perumahan dan akhirnya apabila hendak bangunkan perumahan, kos telah meningkat, kos tanah melambung tinggi.

“Saya katakan tidak terlalu lambat, tetapi sudah tenat. Kita mahu bangunkan perumahan rakyat, kosnya terlalu tinggi kerana kita tidak menetapkan kawasan-kawasan (untuk perumahan) dari awal. Kita hanya fikirkan gedung-gedung kerana gedung ini kadangkala memberikan pulangan yang lebih baik,” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu sebelumnya menyampaikan ucapan pada Festival Taman Kuala Lumpur 2023 di Taman Tasik Titiwangsa.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Mahadi

Sementara itu tambah Anwar, perancangan kota-kota besar sangat penting agar selari dengan konsep Malaysia MADANI yang dicetuskan beliau.

Justeru beliau sekali lagi mengingatkan supaya pihak berkuasa tempatan membantu golongan peniaga kota dengan menyediakan kemudahan dan mengindahkan warung serta gerai kecil dikawasan mereka.

"Kita mahu restoran lima bintang tetapi kita kena ingat warung-warung dan gerai itu penting kerana sebahagian besar rakyat tidak mampu mendekati restoran lima bintang. Tanggungjawab kita yang ada kuasa untuk pastikan kemudahan bagi rakyat terbanyak dan harus indah.

Jangan hanya ghairah bina bangunan megah
"Perumahan rakyat, mengindahkan warung dan gerai serta kedai-kedai runcit sekadar yang kita mampu... jadi akhirnya kita hidup dalam negara makmur tetapi kita kekalkan dua darjat jadi sebab itu (konsep) Malaysia MADANI ini kita harus ikhtiar," katanya.

Beliau turut meminta pihak berkuasa tempatan belajar daripada kesilapan kota-kota besar menghapuskan hutan dan mementingkan perniagaan semata-mata ketika merancang bandar.

Post a Comment

0 Comments