PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan akan ke Republik Filipina untuk lawatan kerja dua hari bermula hari ini.
Pada lawatan rasmi itu, Perdana Menteri dijangka akan bertemu Presiden Filipina Ferdinand R. Marco bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan kerjasama dua hala seperti kerjasama keselamatan, pertanian dan industri halal dan ekonomi digital.
Wisma Putra dalam kenyataannya pada Selasa menyatakan kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
"Lawatan ini mencerminkan hubungan akrab antara Malaysia dan Filipina selaku jiran rapat serta negara anggota ASEAN.
"Ia juga akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk memperkasa jaringan kerjasama dua hala bertunjangkan kepentingan bersama, peningkatan kerjasama ekonomi dan politik serta jalinan antara rakyat,” menurut kenyataan itu.
Untuk rekod, ia lawatan pertama Anwar ke Republik itu sejak menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Filipina adalah rakan dagangan ke-15 terbesar Malaysia dan ke-5 terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Nilai dagangan Malaysia dengan Filipina meningkat sebanyak 20.1 peratus tahun lalu, iaitu RM41.45 bilion (USD9.42 bilion) berbanding jumlah dagangan pada 2021.
Sebelum ini Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu telah mengadakan lawatan rasmi ke negara jiran lain antaranya Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand dan semua kunjungan itu memberi kesan positif dari segi hubungan dan pelaburan.
![]() |
Kukuh hubungan kerjasama dengan negara jiran |
Selain bertemu Presiden, Anwar juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Filipina.