JPPA gesa pendedahan SPRM diberi perhatian


ISU
didedahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Khusairi Yahya baru-baru ini berkaitan tahap rasuah dalam kalangan penguatkuasa perlu diberikan perhatian oleh semua pihak.

Pengarah,Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) KEADILAN, Amidi Abdul Manan dalam satu kenyataan mengingatkan isu itu perlu dibendung segera kerana beliau bimbang usaha Kerajaan Perpaduan untuk memerangi rasuah bakal terdedah kepada risiko sabotaj.  
 
"Perakuan untuk mendakwa siapa sahaja tanpa campur tangan politik telah pun diberikan oleh pucuk pimpinan negara.

"Oleh itu tiada sebab mengapa usaha menghapuskan rasuah boleh gagal melainkan ada pihak yang sengaja mensabotaj hasrat ini," tegasnya dalam kenyataan.

Ahmad Khusairi pada Isnin berkata, tahap korupsi membabitkan anggota penguat kuasa barisan hadapan keselamatan negara semakin kronik dan membimbangkan.

Kebanjiran warga asing contohnya telah dijadikan peluang besar oleh segelintir penguat kuasa yang tidak berintegriti untuk mengambil kesempatan meminta rasuah.
 
Tambahnya dengan masalah yang kronik itu, tidak hairan  Malaysia telah menjadi antara tumpuan pekerja asing mendapatkan pekerjaan, pusat transit dadah di rantau Asia Tenggara, pusat penipuan dan pelaburan palsu antarabangsa, judi dalam talian, macau scam, pelacuran antarabangsa dan sebagainya.

"Kita sering menolak dan menidakkan realiti serta mencari pelbagai alasan untuk menafikannya,” kata Ahmad Khusairi dalam kenyataan.

Beliau turut berkata, pendedahan SPRM menerusi Op Tropicana, Op Bolos KLIA 1 & 2, Op Lancar dan beberapa siri operasi lain membuktikan isu tersebut serius dan memerlukan tindakan tegas agensi-agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab.

Pendedahan Khusairi amat membimbangkan
Sementara itu Amidi menyokong gesaan Ahmad Khusairi agar tindakan tegas dilaksana segera.

"Kita perlu memperbaiki perkara ini sebelum parah. Imej perkhidmatan awam akan menjadi buruk pada pandangan masyarakat awam lantaran penguatkuasa yang menjadi nila dan merosakkan susu," tegasnya. 

Post a Comment

0 Comments