PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin digesa menghentikan sentimen “tidak sihat” dengan kempen pembohongan terutama ketika menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Gesaan itu disuarakan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng susulan tuduhan dibuat Muhyiddin terhadapnya dalam isu pembatakan pengecualian cukai Yayasan Albukhary.
“(Jika anda) mahu kempen, tolong berkempen berdasarkan fakta. Jangan jadi macam Donald Trump, berkempen berdasarkan pembohongan,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan itu ditemui pemberita sebelum membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi terhadap Muhyiddin pada Rabu.
Pada Selasa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam Dewan Rakyat menyangkal dakwaan Muhyiddin.
Anwar menjelaskan Guan Eng tidak membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary ketika menjadi menteri kewangan, sebagaimana didakwa Muhyiddin.
Guan Eng yang kini merupakan Pengerusi DAP mengancam untuk menyaman Muhyiddin susulan tuduhan itu.
Beliau menyifatkan ia kenyataan “menghasut” seolah-olah mahu menggambarkan menteri bukan Islam membatalkan pengecualian cukai terhadap pertubuhan amal Muslim.
“Jelas Muhyiddin mahu perkara ini dimainkan untuk menyemarak sentimen ‘tidak sihat’. Saya serahkan kepada polis menyiasat hal ini,” katanya sambil memaklumkan saman sivil terhadap Muhyiddin akan diteruskan.
Menyifatkan dirinya dijadikan 'bogeyman' beliau menegaskan sebagai seorang pengerusi gabungan parti politik, Muhyiddin sewajarnya melakukan kempen bersih dan positif, “bukan berdasarkan penipuan, kebencian, dan ketakutan”.Guan Eng dakwa Muhyiddin memfitnah
Namun dengan tuduhan dibuat Muhyiddin itu jelasnya “kerosakan sudah berlaku” memandangkan rakyat mempercayai Muhyiddin “tidak kira sejauh mana penjelasan diberikan bagi menolak tuduhan itu”.
0 Comments