KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital (KKD) digesa bersikap lebih agresif mengekang penyebaran fitnah terutama terhadap pemimpin kerajaan di media sosial.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Razeef Rakimin dalam satu kenyataan media berkata, tindakan undang-undang perlu diambil bagi mengelak penyebaran fitnah yang boleh menimbulkan ketegangan menjadi berleluasa.
"Meneliti beberapa akaun media sosial terutama TikTok yang digunakan bagi menyebarkan fitnah serta kebencian kaum yang dilihat semakin berleluasa.
"Ini amat menyedihkan bila penyebar fitnah ini adalah dari kalangan beberapa muslimah anak muda yang menyebarkan fitnah tanpa takut akan undang-undang serta membelakangi dosa dan pahala.
"Tindakan undang-undang perlu diambil bagi mengelak penyebaran fitnah semakin berleluasa
"Ini bukanlah satu keputusan menyekat hak kebebasan bersuara kerana kebebasan berekspresi perlulah melalui maklumat yang sahih dan tidak menimbulkan ketegangan," tegasnya.
Kenyataan Razeef dipercayai merujuk tuduhan tidak benar seorang wanita melalui akaun TikTok @bendabetul berhubung pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi kepada Perdana Menteri yang juga bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu melalui kenyataan sama Razeef turut mengulas permohonan maaf Ketua PAS Perak, Razman Zakaria terhadap fitnah yang beliau lemparkan terhadap Anwar.
Jelasnya mengikut rekod Razman menunjukkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu telah beberapa kali kalah saman fitnah serta beberapa kali membuat permohonan maaf.
Justeru beliau bimbang keputusan memaafkan Razman serta individu lain yang melakukan fitnah tidak akan 'membuka mata' para penyebar fitnah bahawa mereka tidak boleh lepas dari tindakan undang-undang.
"Razman pernah diarahkan membayar RM200 ribu kepada Datuk Seri Nizar Jamaluddin pada November 2019, membayar RM14,500 kepada mahkamah pada Jun 2017 selepas samannya ditolak, dan beliau masih berdepan dengan beberapa tindakan saman dari pemimpin Pakatan Harapan termasuk Lim Guan Eng dan Dr.Mujahid Rawa.
"Beliau juga pernah membuat permohonan maaf kepada AMANAH atas dakwaan mengaitkan parti itu dengan komunis pada Jun 2017, membuat permohonan maaf pada Lim Guan Eng serta didenda RM250 ribu November 2017 serta beberapa siri permohonan maaf kepada pemimpin Pakatan Harapan.
"Dalam situasi politik negara, kita boleh lihat tindakan melepaskan pihak yang melemparkan fitnah hanya kerana memohon maaf hanya akan melahirkan lebih ramai pemfitnah dari puak yang sama," kata Razeef dalam kenyataannya.
Untuk rekod, pada 4 November 2022, Razman dalam kempen piihan rayanya mendakwa Dato' Seri Anwar Ibrahim akan membawa agenda LGBT, perkahwinan sejenis dan agenda komunis jika Pakatan Harapan memerintah dan menjadi Perdana Menteri.
Dalam sidang media, beberapa hari sebelum hari mengundi Razman menegaskan beliau tidak akan meminta maaf kepada Anwar susulan kenyataan.
![]() |
KKD mesti bertindak lebih agresif |
Razman berkata dia menarik balik semua fitnah dan tuduhan terhadap Anwar dan merasa kesal atas tindak tanduknya itu.
0 Comments