Menu Rahmah bukan program bermusim, kata Menteri


INISIATIF
Menu Rahmah yang diperkenal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) baru-baru ini telah menarik perhatian ramai berikutan sambutan luar jangkaan daripada pengguna dan peniaga.

Menteri KPDN Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan memastikan inisiatif bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat itu akan berterusan dan tidak hanya hangat pada waktu kempen semata-mata.

Bagi memastikan perkara itu, Salahuddin berkata sinergi atau kolaborasi daripada pelbagai pihak diperlukan termasuk dengan memperluas kerjasama antara pembekal bahan mentah dan pengusaha kedai makan serta restoran.

“Saya akur dan memerlukan satu sinergi sebab KPDN tidak boleh bekerja sendirian bagi menjayakannya (Menu Rahmah). Saya akan lakukan libat urus antara pihak industri makanan, pembekal bahan mentah dan kedai makan serta restoran.

“Kita juga akan libatkan syarikat makanan segera bagi memastikan menu ini bertahan lama  dan bukannya ‘one off’ atau untuk sehari dua sahaja,” katanya selepas merasmikan Menu Rahmah di Restoran Wachaa Parit Raja, Johor pada Khamis.

Salahuddin sebelumnya mengulas saranan seorang penganalisis ekonomi daripada Putra Business School, berkata inisiatif itu memerlukan sinergi antara kerajaan, peniaga makanan dan pembekal bahan mentah.

Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpandangan penglibatan syarikat besar dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam inisiatif itu dapat membantu kelangsungan program.

Sebagai rekod, pelaksanaan inisiatif Menu Rahmah sejak hujung bulan lepas tidak melibatkan sebarang peruntukan ataupun perbelanjaan daripada kerajaan.

Menurut Salahuddin, ia adalah sepenuhnya komitmen peniaga yang secara sukarela menyertainya.

Kempen Menu Rahmah dapat sambutan hebat
Tinjauan sentimen yang dilakukan Bernama pada 2 dan 3 Feb lalu mendapati kira-kira 56 peratus menyambut baik komitmen kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dalam menjaga kebajikan rakyat, terutama B40, dengan menawarkan hidangan berkhasiat tengahhari dan malam pada harga RM5 sepinggan.

Menu Rahmah juga bakal diperluas ke rangkaian makanan segera, dan hasil rundingan akhir dijangka akan diumumkan minggu depan.

Post a Comment

0 Comments