SEBANYAK RM324 juta diperuntukkan kerajaan untuk menambah baik program latihan serta kemudahan sukan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2023 semalam berkata, peruntukan diberikan itu adalah bagi membangunkan ekosistem sukan secara menyeluruh.
“Peruntukan itu antaranya untuk membangunkan ekosistem sukan yang menyeluruh daripada pencarian bakat sehingga ke acara podium serta untuk tujuan penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan sukan di seluruh negara.
“Kerajaan juga bersetuju potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat diberi kepada individu atau syarikat yang menyumbang kepada organisasi bukan berasaskan keuntungan yang melaksanakan program pembangunan sukan di peringkat akar umbi,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menjelaskan, sebanyak RM20 juta turut diperuntukkan kepada program perpaduan yang berlandaskan penerapan nilai-nilai murni antara kaum.
“Keutamaan diberikan kepada program sukan, kebudayaan dan kesenian di peringkat sekolah dan komuniti dengan memastikan penglibatan belia dan semua jenis sekolah secara silang budaya.
“Bagi menjayakan program-program ini, kerajaan akan menyediakan dana geran padanan RM50 juta bagi mendorong penajaan sektor swasta untuk program sukan, khususnya sukan berteraskan perpaduan, penganjuran pertandingan di peringkat kebangsaan dan program realiti sukan,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.
![]() |
Kebajikan atlet diambil perhatian oleh kerajaan |
Kerajaan turut bercadang untuk memberi potongan cukai kepada majikan yang menggaji bekas atlet negara.