Menteri umum langkah ringan beban guru sekolah


SEBARANG
bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat sekolah yang  tidak memberikan impak besar terhadap pembelajaran murid dan hanya menambahkan beban tugas guru akan dimansuhkan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam kenyataan berkata, pemansuhan itu akan bermula bagi sesi persekolahan 2023/2024.

Ia merupakan antara tujuh langkah segera yang diambil, dalam teras kelima Kementerian Pendidikan (KPM) yang memfokuskan kepada isu kebajikan termasuk tekanan dihadapi para guru, hasil daripada laporan awal diterima.
 
"Kesemua langkah ini akan diperincikan oleh pengurusan tertinggi KPM dan akan dilaksanakan bermula sesi persekolahan 2023/2024. KPM sentiasa komited memastikan kesejahteraan guru terus terpelihara," katanya.

Difahamkan pemansuhan itu membabitkan pertandingan keceriaan pusat sumber, tandas tercantik, Bilik Operasi Sistem Pengurusan Buku Teks (SPBT) terbaik dan yang seumpamanya.

Beliau sementara itu memakumkan kementeria juga akan  mengurangkan kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM), yang melibatkan guru kepada setahun sekali sahaja.

"Langkah lain ialah menetapkan waktu mengunci masuk rekod kehadiran murid yang lebih fleksibel kepada guru, iaitu 12 tengah hari untuk sesi pagi dan 5 petang untuk sesi petang, bagi mengelakkan kesesakan dalam sistem," katanya.

Fadhlina juga mengumumkan pelantikan pengawas peperiksaan awam yang dikendalikan oleh LembagaPeperiksaan (LP) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) akan terbuka kepada individu selain guru yang sedang berkhidmat.

Ia kini dibuka kepada pesara kerajaan, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pendidian Tinggi (IPT) yang walau bagaimanapun tetap perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan.

KPM komited jaga kesejahteraan guru
KPM juga katanya akan mengehadkan penganjuran sambutan Hari Guru Tahunan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah, selain menetapkan ringkasan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) di peringkat KPM bagi memastikan kembali memenuhi keperluan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil.3/1999, yang merangkumi elemen objektif, pengajaran dan refleksi.

Langkah ketujuh kata Fadhlina pula ialah memperkukuh autonomi guru dalam perancangan dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran, serta pentaksiran bilik darjah (PBD) dengan menjadikanDokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) sebagai rujukan.

Post a Comment

0 Comments