SEMUA pihak wajar memainkan peranan bagi menyampaikan advokasi keselamatan bagi memastikan keselamatan murid-murid sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek membuat gesaan itu sebagai mengulas insiden jeti roboh di Pulau Pababag, Semporna, Sabah, yang membabitkan 25 murid serta guru.
"Yang ingin saya tegaskan adalah isu keselamatan, ini kita tak kompromi baik guru atau anak murid.
"Jeket keselamatan sememangnya sudah disediakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) untuk murid yang menggunakan laluan air ke sekolah, ia mesti digunakan.
"Advokasi ini juga mesti berlaku di kalangan ibu bapa bagi memastikan anak-anak mereka pergi ke sekolah dengan selamat.
"Kita minta dan pohon supaya advokasi ini dilakukan semua pihak supaya saling mengingati satu sama lain kerana isu keselamatan dan nyawa anak-anak kita dan guru ke sekolah," katanya.
Ketua Wanita parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu sebelumnya hadir merasmikan Seminar Perdana Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) 2023 di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Dalam kejadian jam 6.45 pagi Isnin itu, dua murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pababag mengalami kecederaan ringan pada bahagian bibir dan tangan kerana terkena runtuhan simen dan kayu yang roboh.
Tiga guru terpaksa terjun ke laut demi menyelamatkan murid yang terjatuh ketika ituPelajar dan ibu bapa mesti dididik nilai keselamatan
Susulan kejadian itu, Kerajaan Persekutuan segera meluluskan peruntukan RM400,000 bagi membina semula jambatan dan jeti Pulau Pababag yang roboh pada Isnin.
Manakala menurut Fadhlina, pihak kementerian sedang melihat laluan alternatif yang selamat untuk digunakan murid-murid terbabit untuk ke sekolah.
0 Comments