Tampar pemain: jangan biarkan ini terus berlaku


TINDAKAN seorang individu dipercayai jurulatih pasukan bola tampar perempuan mengasari dua pemain pasukan itu mengundang kritikan pimpinan wanita Pakatan Harapan (HARAPAN).

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengecam tindakan individu tersebut dengan menegaskan tindakan seperti itu adalah satu perbuatan yang salah.

“Ini adalah salah. Telah bercakap dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan kami sama-sama sedang mendapat maklumat lanjut tentang kejadian ini,” katanya dalam ciapan di Twitternya pada Ahad.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 21 saat dimana jurulatih yang dipercayai dari pasukan Melaka itu dilihat jelas menampar dua pemainnya sebelum memberi kata-kata kepada atlet pasukannya.

Kejadian dipercayai berlaku semasa  Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 'Juara B14 2022' di Johor pada 16 Disember lepas.

Tindakan individu itu dipercayai berikutan dua pemain berkenaan menyebabkan pasukan kehilangan satu mata dalam perlawanan sebelum panggilan masa tamat.

Sementara itu Menteri Pendidikan, Fadhina Sidek juga membidas tindakan tersebut.

Tegasnya Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dengan kejadian itu, KPM jelasnya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan.

"Laporan penuh menyusul dan @KemPendidikan memohon saksi untuk tampil memberi keterangan," kata Ketua Wanita KEADILAN itu.

Beliau melalui ciapan di Twitter turut berkata KPM tekad mewujudkan sekolah yang selamat untuk semua murid dan itu akan sentiasa menjadi keutamaannya.

Selain kedua-dua menteri kabinet itu, isu serupa turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Bentong.

Young Syefura Othman berkata, insiden itu tidak sepatutnya berlaku dalam industri pembangunan sukan di Malaysia.

Ia tegasnya perlu dihentikan dengan segera sekiranya ia sudah menjadi sebahagian daripada budaya dalam mana-mana sukan di dalam negara.

“Kita tidak boleh membiarkan budaya begini menular di dalam bidang sukan.

"Kekerasan tidak menjamin prestasi cemerlang sebaliknya memberikan tekanan yang akhirnya memberikan kesan terhadap tahap mental atlet terbabit.

Tindakan kasari pemain adalah salah
“Jika seorang jurulatih tidak boleh mengawal emosi dan menjadi profesional terhadap anak didik, beliau tidak layak untuk menjadi jurulatih,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Ahad.
 
Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) melalui laporan media semalam berkata, mereka memandang serius isu yang tular itu.

MAVA telah mengambil langkah untuk menubuhkan satu badan siasatan bagi menyiasat kejadian tersebut dengan serta merta dan jurulatih terbabit telah digantung daripada melibatkan diri dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan sehingga siasatan selesai

Post a Comment

0 Comments