KPDN mula langkah wujudkan 'Sistem Perlindungan Sosial Baharu’

 


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melaksanakan langkah mewujudkan ‘Sistem Perlindungan Sosial Baharu’ di dalam negara, kata menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Salahuddin berkata ia antara sembilan perkara yang dilaksana KPDN dalam tempoh sebulan selepas beliau menjawat jawatan itu.

Selain Sistem Perlindungan itu, kementerian juga telah mengambil langkah lain  memastikan kepentingan pengguna terjamin, ia termasuk dengan mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri minyak sawit dan simen tempatan.

Pihaknya juga turut turun padang ke beberapa premis perniagaan bagi melihat sendiri isu kekurangan barangan bersubsidi seperti telur ayam dan minyak masak tulen selain melancarkan Ops Terjah selama satu bulan bagi tujuan mengawal kestabilan bekalan dan harga barangan keperluan asas.
 
"Kita  turut mengatur perancangan program baharu KPDN iaitu Bakul Rahmah melalui perbincangan bersama pemain industri seperti 99 Speedmart, Mydin, NSK dan Giant.

“Program baru 'Rezeki Suri' juga telah dicadangkan bersama libat urus dengan Dewan Perniagaan Islam Malaysia Kementerian, kita sedang meneliti pelaksanaannya dalam kadar segera,” kata  Ahli Parlimen Pulai itu.

KPDN kerjasama dengan kementerian lain
Tidak bersendirian dalam mendepani agenda besar menangani isu kos sara hidup, KPDN juga menjalankan sesi kerjasama di peringkat tertinggi kementerian lain iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dan Kementerian Ekonomi.

"Sekretariat Tetap rentas kementerian juga telah diputuskan bagi melaksanakan segala dasar dan strategi kementerian yang terlibat dengan agenda kos sara hidup," tegas Salahuddin.

Post a Comment

0 Comments