BN dan DAP kerjasama lawan PN di Pulau Pinang

 


RAKYAT Pulau Pinang, buat julung kalinya akan menyaksikan kerjasama kuat antara Barisan Nasional (BN) dengan musuh tradisinya, DAP sebagai satu pasukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pertengahan tahun ini.

Bercakap pada satu sidang akhbar di Wisma DAP Pulau Pinang di George Town hari ini, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata jalinan kerjasama antara DAP yang sebahagian parti gabungan dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) dan BN telah dibentuk di peringkat Kerajaan Pusat menerusi pembentukan kerajaan perpaduan.

Malah kerjasama itu turut telah dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri Perak dan Pahang susulan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) baru-baru ini.

”Kita ada kerajaan perpaduan di peringkat Pusat, jadi ia dengan sendirinya akan menyebabkan kerjaaan-kerajaan negeri juga bekerjasama seperti yang berlaku di Perak dan Pahang.

”Yang penting secara prinsipnya kalau ada kerajaan perpaduan dengan sendirinya secara semula jadi tentu ada hubungan politik secara perpaduan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai bentuk jalinan kerjasama itu, Guan Eng berkata ia akan diperincikan selepas mesyuarat lanjut dijalankan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden HARAPAN.

”Mesyuarat ini akan dijalankan dalam minggu ketiga sebelum Tahun Baharu Cina, kita mahu lihat bagaimana bentuk jalinan kerjasama yang akan dibentuk dengan BN.

“Segala perincian mengenai kerjasama akan dimaklumkan selepas Tahun Baharu Cina nanti,” katanya lagi.

Sementara itu bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut meminta penyokong HARAPAN dan BN menerima secara terbuka perubahan lanskap politik negara yang tercipta.

Kerjasama untuk capai kestabilan politik
Keadaan politik sekarang mana-mana parti pun tidak mempunyai majoriti dari segi kerusi Parlimen memerlukan kedua-dua pihak bekerjasama bagi memastikan kestabilan politik negara dapat dicapai dan usaha membina semula negara dapat dilaksanakan.

”Jadi adalah perlu untuk sebuah kerajaan yang stabil dibentuk seperti kerajaan perpaduan yang disyorkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

”Kerajaan Pusat menyahut seruan Yang di-Pertuan Agong dan yang penting ia dapat membentuk sebuah kerajaan yang stabil, bersatu padu untuk kita dapat memberi tumpuan kepada masalah ekonomi, itu yang jadi keutamaan kita,” katanya dipetik.

 

Post a Comment

0 Comments