Kewibawaan PM mampu 'mandulkan' gelombang PN di Kedah


GELOMBANG
sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) di beberapa negeri terutama di Kedah hanya bersifat sementara dan akan reda tidak lama lagi, kata Datuk Dr Ismail Salleh.

Ketua Penerangan Pakatan Harapan (HARAPAN) Kedah itu berkata, gelombang dicipta itu tidak akan mampu bertahan kerana ia pada dasarnya wujud disebabkan tiupan sentimen kaum dan agama oleh pihak tertentu.

"Ramai telah menyedari hakikat permainan sentimen ini hanyalah untuk meraih laba politik dan tidak memberi apa-apa keuntungan dalam usaha pembinaan negara," kata Dr Ismail dalam satu kenyataan.

Selain dari faktor itu, beliau melihat kepimpinan Pengerusi HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menarik kembali sokongan rakyat Kedah.

Anwar yang dilantik sebagai Perdana Menteri bagi mengetuai Kerajaan Perpaduan telah membuktikan kesungguhan mereka untuk meningkatkan kedudukan negara walaupun baru mengambil alih pentadbiran negara hanya kira-kira sebulan yang lalu.

“Perdana Menteri, bukan saja bercakap malah bertindak dengan menunjukkan contoh terbaik. Keazaman dan kesungguhan untuk membawa negara ini berada di puncak terserlah di samping kekuatan aura peribadi beliau.

“Pengiktirafan mencurah-curah daripada pimpinan seluruh dunia dengan komitmen untuk melabur dalam negara ini akan menyegerakan pertumbuhan ekonomi sekali gus memakmurkan dan mensejahterakan kehidupan rakyat,” katanya lagi.

Selain itu, kerjasama politik antara HARAPAN dan Barisan Nasional (BN) yang terbentuk tanpa tersangka susulan keputusan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang akhirnya diterjemah dengan kestabilan politik negara turut menjadi ancaman kepada PN.

Rakyat makin yakin dengan kepimpinan Anwar
Kerjasama antara dua blok itu yang sudah dimulakan disegenap peringkat mampu menjadi penghalang besar untuk rakyat memilih PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN)) tidak lama lagi.
 
"Ini sekali gus memberi kelebihan kepada gabungan HARAPAN dan Barisan Nasional (BN)  seterusnya akan menghadirkan kemenangan dalam PRN akan datang,” kata ADUN Pengkalan Kundor itu dalam kenyataan tersebut.

Post a Comment

0 Comments