Semua anak bangsa ada hak dapat kesaksamaan pendidikan


KEMENTERIAN PENDIDIKAN
(KPM) akan terus menjalankan pemantauan
ke atas murid berisiko cicir bagi memastikan mereka dapat menghabiskan peringkat persekolahan mereka, tegas menterinya Fadhlina Sidek. 

Fadhlina berkata,  langkah itu bertujuan memastikan hak kesaksamaan pendidikan dapat dipenuhi untuk semua anak-anak di negara ini.

"Semua anak bangsa yang tinggal di negara ini berhak memperoleh kesaksamaan pendidikan walau dimana ceruk atau pojok tanah air ini  mereka berada.

"Kementerian ini sangat perihatin akan masalah pendidikan khasnya isu keciciran di kalangan pelajar, KPM sentiasa mencari jalan kearah sifar keciciran.

"Maka pemantauan dan intervensi (campur tangan) pihak sekolah keatas pelajar yang berisiko tercicir akan diteruskan agar mereka terus bersekolah hingga tamat tingkatan lima," kata Ketua Wanita Parti Keadilan (KEADILAN) itu.

Fadhlina membuat ketegasan tersebut melalui satu hantaran di laman Facebooknya sempena sambutan tahun baharu 2023.

Melalui perutusan sama Fadhlina turut menekankan bahawa proses pencarian, pembinaan serta pengumpulan ilmu wajib dijadikan budaya penerokaan yang bersifat membina otak dan watak.

Bagi tujuan itu, tujuh perkara teras akan dijadikan panduan kementerian dalam usaha mengemudi sistem pendidikan negara.

Tujuh teras berkenaan jelasnya adalah komunikasi cekap dan telus antara kementerian serta sekolah; penekanan kepada aspek keramahan insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti; kemiskinan berbilang dimensi B40; keciciran pendidikan dan masalah literasi; kebajikan guru; ubah suai dan naik taraf sekolah daif terutama di Sabah dan Sarawak serta peningkatan keupayaan pendidikan digital di sekolah

Sinergi semua pihak merupakan kunci kejayaan 
“Pendekatan untuk mengekalkan dasar sedia ada diangkat dan ditambah baik dengan pemantauan di peringkat implementasi

"Negara memerlukan sinergi antara guru, murid, ibu bapa serta komuniti yang merupakan kunci kejayaan pendidikan masa depan,” katanya sambil menzahirkan penghargaan buat warga pendidik.

Post a Comment

0 Comments