PEMIMPIN PAS dicabar menjelaskan apakah individu yang dilihat memberi wang tunai kepada pengundi dalam satu rakaman video yang tular baru-baru ini merupakan ahli jawatankuasa parti itu.
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Terengganu Raja Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, persoalan itu mesti dijawab segera oleh pemimpin PAS kerana rakyat berhak mengetahuinya.
"Pemimpin PAS mesti menjawab isu video yang tular menunjukkan seorang warga emas meminta penerima wang pemberiannya bersumpah atas nama Allah mereka mengundi PAS.
"Adakah benar orang tersebut merupakan ahli jawatankuasa PAS di salah sebuah kawasan dalam Terengganu?
"Adakah benar video pemberian 'sedekah' tersebut berlaku di sebuah surau di kawasan Bukit Payong?" soalnya dalam kenyataan.
Pada 16 Januari lalu, UMNO Terengganu memfailkan petisyen bagi membatalkan kemenangan PAS di parlimen Kuala Terengganu, Marang, dan Kemaman.
Petisyen dibawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu itu antara lain mendakwa PAS telah menyogok pengundi.
Isu sogokan kemudian timbul apabila Presiden PAS Abdul Hadi Awang tampil mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan mendakwa ia adalah sedekah kerana tidak melibatkan calon bertanding atau wakil mereka.
Kenyataan Ahli Parlimen Marang itu kemudian dikritik banyak pihak.
Benarkah lelaki tersebut AJK PAS? |
"Amat penting PAS membuat kenyataan tentang isu ini kerana perbuatan yang dikatakan rasuah ini dipercayai berlaku di sebuah surau yang merupakan tempat suci orang Islam.
"Kami memohon PAS memberi penjelasan atau sekurang-kurangnya menafikan tuduhan-tuduhan yang serius ini bagi menjaga kesucian tempat orang Islam beribadah," jelasnya.
0 Comments