KEADILAN tidak akan meninggalkan prinsip perjuangannya hanya semata-mata untuk kembali berkuasa.
Presiden parti itu, DatuK Seri Anwar Ibrahim dalam satu sesi siaran langsung yang disiarkan di Facebook berkata, mereka tidak akan bersekongkol kerana hanya hendak berpaut kepada kuasa.
"Kalau kita terus bersekongkol kerana hanya hendak berpaut kepada kuasa, kita nampaknya telah meninggalkan prinsip dan landasan ini semata-mata kerana kita rasa tidak ada pilihan. Kita sudah hidup berjuang tanpa kuasa.
"Kita harus ada keyakinan untuk pastikan program ekonomi yang lebih inklusif," tegas Anwar.
Mengulas lanjut, Anwar turut mengingatkan dasar perjuangan dibawakan parti itu adalah bagi memperjuangkan nasib rakyat Malaysia, justeru individu yang tidak mampu mendepani semangat reformasi itu jelasnya adalah tidak layak untuk berjuang bersama mereka.
"Ada orang yang berfikiran lapuk, jumud, fikiran lama, kepompong lama, orang itu tidak boleh bersama-sama dalam gerakan kita dalam Pakatan Harapan." tambah Anwar.
Dalam siaran video tersebut, Anwar yang juga adalah Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) turut membangkitkan beberapa isu, ia termasuk dasar ekonomi dibawakan Gabungan itu dalam membasmi kemiskinan yang menurutnya tidak akan dilakukan hanya berdasarkan kepentingan kaum tertentu semata-mata.
"Saya jelaskan bahawa kaum yang paling ramai miskin dan tersisih adalah Melayu, kalau golongan Bawah 40, 70 peratus adalah Melayu dan bumiputera. Tetapi apa salahnya kita gunakan pendekatan yang miskin itu miskin, yang miskin itu semua manusia.
"Kalau ada program membasmi kemiskinan, mengurangan kesenjangan manfaatnya tentunya kepada golongan majoriti Melayu bumiputera tetapi sedikitpun menunjuk sikap kita yang diskriminatif hina kaum dan agama
"Kerana ini bertentangan dengan hati nurani kita sebagai manusia dan saya sebagai seorang Islam tidak mengizinkan untuk menindas mana-mana kelompok," jelasnya yang tidak lupa mengulas isu berkaitan paras gaji minimum serta isu pampasan kepada golongan pekerja yang dibuang kerja.
0 Comments