Saya mahu angkat kembali martabat rakyat - PM

 


KONSEP Malaysia Madani yang mahu diterapkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan menjadi bukti keterangkuman peranan semua lapisan masyarakat tanpa prasangka.

Dalam ucapannya dihadapan lebih 400 diaspora Malaysia di Brunei malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,semua pihak mesti mendukung konsep itu dengan semangat, ketelitian, keinginan dan tekad bagi memastikan ia akan berjaya.

"Saya ingin memulakan tradisi baharu yang asasnya ialah perpaduan. Slogan sahaja tidak meyakinkan kerana apa yang lebih utama ialah memaknai konsep itu dengan penghayatan dan amalan.

"Kebenaran, keadilan, perpaduan, kemanusiaan, ihsan dan rahmah itu konsep yang memukau tetapi ujian sebenar ialah pelaksanaannya.
 
"Negara dan tamadun boleh terangkat dengan idealisme dan disiplin, namun ia juga boleh runtuh dengan kesenjangan dan rasuah," katanya pada Majlis Makan Malam di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan malam tadi.  

Turut hadir adalah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah.

Menjawab soalan dalam sesi dialog selepas itu, Anwar berkata, cabaran utama dalam melaksanakan konsep yang mahu diterjemahkan itu ialah pada aspek ekonomi.

"Dalam hal ini, perniagaan mesti maju, kita kena teroka bidang baharu dan mesti ada nilai serta ihsan. Saya rumuskan idea baharu dan cerakinkan supaya rakyat faham untuk memastikan pelaksanaannya kelak lebih lancar," katanya.

Dalam pada itu Anwar juga menjelaskan cita-citanya untuk mengangkat martabat rakyat dan menangani permusuhan perkauman selari dengan tuntutan Islam.

PM ajak semua pihak dukung Malaysia Madani
"Kita mahu melawan fahaman berkaitan perkauman. Islam tidak boleh dijadikan bibit pergaduhan, maka saya ingin bawa kembali nilainya.

"Jangan jadikan Islam untuk menghina orang, pecah-belahkan masyarakat. Kita mesti melawat trend konservatif baharu yang mulai menular, lawan rasuah," tambahnya.

Hari ini Anwar dijadualkan menghadap menghadap Sultan Brunei di Istana Nurul Iman dan disusuli dengan majlis santapan rasmi yang dihoskan Sultan Brunei.

Kedua-dua pemimpin dijangka akan  mengambil peluang menilai kemajuan kerjasama yang sedang berjalan di samping mengukuhkan lagi hubungan yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara pada pertemuan itu.







Post a Comment

0 Comments