ABIM desak OIC beri tekanan terhadap Sweden


PERTUBUHAN Negara-negara Islam (OIC) digesa mengeluarkan amaran keras terhadap Sweden susulan tindakan seorang ahli politiknya, Rasmus Paludan yang bertindak memprovokasi umat Islam.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata, amaran itu perlu bagi menunjukkan bahawa masyarakat Islam antarabangsa tidak berdiam diri berhubung sebarang isu penghinaan terhadap Islam.

"Kita mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokasi tersebut yang jelas merupakan jenayah kebencian.

"Apa yang lebih mendukacitakan, ia dilakukan selepas mendapat kelulusan permit daripada kerajaan Sweden sendiri," kata Presidennya Muhammad Faisal Abd Aziz dalam kenyataan.

Jelasnya, ABIM juga mengutuk keras tindakan kerajaan negara itu yang mengizinkan pembakaran kitab suci tersebut secara sengaja atas nama kebebasan bersuara.

Pihaknya sependapat dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan kepentingan dialog, kempen kesedaran dan pendidikan bagi menyuburkan budaya damai, sifat toleransi, saling menghormati dan persefahaman bersama.

"Sejak 2014, ABIM turut konsisten menggerakkan pelbagai penerbitan, forum, wacana serta program berkait dengan mencegah serta menangani keganasan melampau dengan kerjasama pelbagai pihak," katanya.

Terdahulu, Paludan yang juga pemimpin politik perkauman sempit berhaluan kanan Denmark yang membakar kitab suci al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm.

Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turki dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

ABIM tolak keganasan melampau
Perdana Menteri dalam satu kenyataan yang dikongsikan di Facebook menegaskan bahawa Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia itu dan mendesak Kerajaan Sweden untuk mengambil langkah segera terhadap pelaku perbuatan keji itu.

Beliau turut mahu Sweden memastikan langkah drastik pada masa depan untuk menangani kebangkitan Islamofobia yang membimbangkan itu.

Post a Comment

0 Comments