RAKYAT Malaysia digesa terus berhati-hati dengan taktik penipuan dalam talian terutama ketika musim perayaan.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata ketika ini, terdapat pelbagai jenis penipuan berlaku dan ia bukan perkara mudah untuk ditangani.
Jelasnya, ketika sesuatu modus operandi dari 'scammer' dapat dikesan, akan muncul jenis penipuan baharu.
“Peringatan saya kepada rakyat Malaysia, tolong berhati-hati dalam suasana perayaan ini (kerana) sudah pasti akan ada yang menangguk di air keruh untuk mengambil kesempatan.
“Kita lihat ‘scam’ seperti ‘scam pencuci’ atau ‘cleaner scam’ yang banyak dibuat melalui Facebook sebagai contoh, kita kena berhati-hati.
“Jadi sekiranya anda mendapat apa-apa tawaran sama ada kerja ataupun perkhidmatan, tolong buat pengesahan sebelum kita terpedaya oleh ‘scammer-scammer’ ini. Jika ia nampak terlalu bagus, kemungkinan satu penipuan dan buat laporan polis serta call 997 supaya kita boleh bantu,” katanya pada Ahad.
Tambah Fahmi pihak kementerian kini sedang cuba memperluas kerjasama dengan pengendali aplikasi dalam talian bagi membendung sindiket penipuan termasuk menerusi aplikasi Telegram.
"Antara masalah yang dihadapi dengan aplikasi itu ialah ia merupakan encrypted system.
"Kementerian cuba menghubungi pihak Telegram supaya beberapa perkara dapat diatur bagi menyelesaikan masalah tersebut," jelasnya.
Sementara itu Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu memaklumkan sejak 2017 hingga tahun lalu sebanyak 1.8 bilion panggilan scam telah disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Orang ramai digesa terus sentiasa peka |
“Jadi kita kena ada satu peningkatan kesedaran tentang cara-cara ‘scammer’ ini beroperasi dan masa yang sama kita lihat satu tindakan bersepadu antara KKD (Kementerian Komunikasi dan Digital), Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar adalah perlu kerana kita dapati ada sejumlah panggilan ‘scam’ ini tak berlaku dalam negara kita tetapi merentasi sempadan,” katanya.
0 Comments