PENYERTAAN Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim berbeza dengan apa yang berlaku dalam kerajaan 'tebuk atap' Mahiaddin Md Yassin sebelum ini, kata seorang pemimpin UMNO.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi dalam hantaran di laman Facebooknya berkata, penyertaan BN dalam kerajaan diketuai Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berteraskan “kepercayaan”, berbanding 'dendam' pada era Mahiaddin.
“Penyertaan BN dalam kerajaan perpaduan berasaskan ‘trust’ tetapi Muhyiddin terima sokongan BN dalam kerajaannya dengan niat dendam. Dia mahu membunuh UMNO.
“Wan Saiful bangga PN berprinsip kerana sanggup jadi pembangkang. Beliau silap. Akta Anti-Lompat Parti menyelamatkan PN. Tanpa akta itu, ramai MP (wakil rakyat) PN akan lompat parti.
“Apatah lagi ramai Ahli Parlimen PN adalah bekas pelompat parti. Sepatutnya PN berterima kasih kepada BN. Akta itu digubal dan diluluskan semasa BN jadi perdana menteri,” katanya di Facebook.
Puad menjawab kenyataan Wan Saiful Wan Jan yang merupakan Ketua Penerangan Bersatu kononnya kerajaan Anwar masih tidak stabil dan boleh diugut pada bila-bila masa.
Dia memberi contoh kepada situasi ketika pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bawah Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.
Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri bagi mengetuai kerajaan perpaduan diwakili HARAPAN, BN, GPS, GRS, Warisan, KDM dan ahli parlimen bebas.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan pelantikan itu setelah baginda mengadakan perbincangan khas dan memperhalusi titah Raja-Raja Melayu.
Walau bagaimanapun pemimpin PN terus mempersoal pelantikan itu dengan mendakwa mereka mempunyai majoriti bagi membentuk kerajaan.
Pada Pilihan Raya Umum lalu, HARAPAN berjaya memperolehi 82 kerusi berbanding 73 oleh PN.
PN setelah dititahkan menghadap Seri Paduka Baginda telah menolak cadangan baginda supaya kerajaan perpaduan diwujudkan.
Sementara itu, Puad berkata, kerana 'sifat dendam' kerajaan pimpinan Mahiaddin akhirnya hanya mampu bertahan selama 17 bulan saja.
“Sebab itu Muhyiddin boleh jadi PM 17 bulan sahaja. Silap sendiri. ‘Scheme of things’ gagal. Tiada berkat,” katanya.Puad jawab kenyataan dibuat Wan Saiful
Kerajaan Mahiaddin yang didirikan dengan menafikan mandat rakyat pada PRU-14 lalu tumbang setelah sebahagian besar Ahli Parlimen Umno yang menyokongnya menarik semula sokongan mereka.
0 Comments