PM dijadualkan adakan lawatan kerja ke Johor hari ini


PERDANA MENTERI
, Datuk Seri Anwar Ibrahim dimaklumkan akan mengadakan lawatan kerja ke Johor hari ini.


Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir menerusi satu hantaran di laman Facebook semalam.

Kunjungan ini merupakan kunjungan pertama Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu ke Johor sejak mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov lepas.

"Insya Allah, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim akan sampai ke Johor esok," tulis Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru.

Pada 21 Disember lalu, Anwar memulakan lawatan kerja pertamanya ke Kelantan.

Ia bagi meninjau sendiri keadaan banjir di negeri bawah pentadbiran pembangkang itu.

Dalam lawatan itu, Anwar mengumumkan bantuan segera RM100 juta kepada Kelantan dan Terengganu serta memberi jaminan untuk mempercepat projek tebatan banjir.

Sementara itu difahamkan, dalam lawatan ke Johor hari ini, Anwar dijangka akan bertemu masyarakat setempat ketika makan tengah hari.

Perdana Menteri dijadualkan bertemu masyarakat
Ahli Parlimen Tambun itu kemudian dijadualkan bersama-sama jemaah sekitar bersolat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Melayu Majidee.
 
Kali terakhir Presiden KEADILAN itu ke Johor ialah ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 awal November lepas.

Tiga hari selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10, Anwar menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Kuala Lumpur.


Post a Comment

0 Comments