Penjawat awam, pesara terima BKK 17 Januari depan


KERAJAAN
Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan bantuan kepada penjawat awam dan pesara perkhidmatan awam.
 
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui satu kenyataan di laman Facebook rasmi berkata, bagi tujuan itu Bantuan Khas Kewangan (BKK) RM700 kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Gred 56 dan ke bawah bagi tahun 2023 akan dibayar 17 Januari depan.

Turut akan menerima bantuan khas itu adalah menerima pencen dan penerima pencen terbitan akan menerima bantuan khas sebanyak RM350.

Turut menerima Bantuan Khas RM350 adalah pesara perkhidmatan awam Skim KWSP serta veteran berpencen dan tidak berpencen.

Bantuan Khas itu yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 20 Disember lalu bakal memberi manfaat kepada 1.3 juta penjawat awam  dan kira-kira sejuta orang pesara.

Antara penerima BKK Tahun 2023 ini adalah pegawai lantikan MySTEP yang berkhidmat sekurang-kurang enam bulan dan guru interim.

2.3 juta individu akan terima manfaat dari BKK
Selain itu, pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Jawatan Utama B dan Gred Khas A yang layak serta pemandu lantikan Anggota Pentadbiran dan Hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman juga menerima BKK tahun hadapan.

Selain bantuan khas, pentadbiran Anwar turut setuju memberi tambahan khas Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56 dengan implikasi kewangan RM1.5 bilion.

Kenaikan gaji membabitkan kumpulan pelaksana dan kumpulan pengurusan serta profesional, itu akan berkuat kuasa 1 Januari ini.

"Pegawai layak (menerima KGT Tambahan Khas) ialah mereka yang bertaraf tetap, sementara dan kontrak (contract of service) dan telah dilantik sebelum 1 Januari 2023 serta sedang berkhidmat pada 1 Januari 2023.

"Pemberian KGT Tambahan Khas ini tidak mengubah Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) dan Tarikh Pergerakan Gaji (TPG) pegawai, tertakluk kepada peraturan yang sedang berkuat kuasa," menurut JPA.

Post a Comment

0 Comments