Sany Hamzan bela nasib mangsa banjir Hulu Langat


CALON HARAPAN
bagi kerusi Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan tekad memperjuangkan nasib hampir 400 mangsa bah yang belum menerima bantuan dari kerajaan persekutuan susulan insiden banjir besar pada Disember tahun lalu.

Bercakap dalam satu program bersama penduduk Kampung Sungai Serai baru-baru ini, Sany berkata beliau merasa sedih apabila diadukan oleh penduduk bahawa mereka menunggu hampir setahun untuk mendapatkan bantuan RM5,000 seperti yang dijanjikan.

“Saya difahamkan mangsa yang tidak dapat lagi bantuan ialah 300 penduduk di Taman Seri Nanding, Batu 16 ada 70 penduduk dan Batu 17 kira-kira 10 penduduk. Sehingga hari ini tiada berita diterima, amat mendukacitakan kita.

“Kerajaan pusat telah memperuntukkan lebih RM2 bilion melalui Bantuan Banjir Keluarga Malaysia, jadi tolonglah segerakan pemberian berkenaan,” katanya.

Sany yang merupakan ADUN Taman Templer turut menegaskan penduduk sepatutnya telah diberi bantuan itu kerana ia telah pun diumumkan pentadbiran Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

“Angka itu (peruntukan) dibincang bukan tepi jalan atau kedai mamak. Semestinya melibatkan pelbagai agensi terutama kewangan. Oleh itu selesaikan masalah ini segera, bukan sekadar cakap sahaja.” tegasnya.

Dalam kejadian 18 Disember lalu, Hulu Langat antara daerah di Selangor yang terjejas teruk dalam kejadian banjir besar yang melanda secara tiba-tiba itu.

Setelah kerajaan persekutuan dikritik susulan lewat memberi bantuan, Ismail pada 31 Disember mengumumkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia.

Antara insentif ditawarkan termasuklah bantuan tunai sehingga RM5,000 untuk kerja pembaikan rumah kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan tidak serius.

Mana bantuan dijanjikan Ismail Sabri?
Di pihak Kerajaan Negeri pula, kerajaan pimpinan KEADILAN mengumumkan Bantuan Selangor Bangkit bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan wang tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.

Bantuan RM1,000 berkenaan selesai diagih kepada 122,000 keluarga terjejas bencana seluruh negeri membabitkan peruntukan RM122 juta pada awal Mei lalu.



Post a Comment

0 Comments