TIMBALAN Ketua Pemuda KEADILAN Kamil Munim menuntut Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria memohon maaf atas dakwaannya bahawa Anwar mempunyai agenda LGBT dan menjadi boneka DAP.
Kamil, calon dipertaruhkan HARAPAN di kerusi Parlimen Padang Rengas berkata Razman perlu bersikap lebih cermat dan tidak mengulangi kesilapan yang sama, iaitu membuat dakwaan tidak berasas.
"Razman ini, saya ingat dia kena lebih cermat. Dia tak boleh ulangi kesilapan yang sama.
'Dia ada rekod kalah saman fitnah banyak kali dan ini bukan budaya politik matang dan sejahtera yang dilaungkan oleh PAS.
"Kita tuntut Razman untuk membuat kenyataan maaf secara terbuka atas tuduhan-tuduhan yang jahat ke atas Anwar dan HARAPAN," katanya.
Razman juga calon Perikatan Nasional (PN) DUN Gunung Semanggol mewakili PAS pada Ahad menakut-nakutkan pengundi agar tidak mengundi HARAPAN dengan mendakwa Anwar yang juga pengerusi gabungan itu sebagai seorang yang mempunyai agenda LGBT yang mahu menghalalkan perkahwinan sejenis.
Anwar katanya lagi akan menyerahkan kuasa kepada DAP.
Susulannya, Anwar menerusi surat tuntutan (LOD) bertarikh 8 November lalu menuntut ganti rugi RM5 juta dan permohonan maaf secara terbuka daripada Razman atas dakwaan jahat itu.
Semakan mendapati Razman yang disebut-sebut calon Menteri Besar PN di Perak pernah beberapa kali disaman atas tindakannya membuat fitnah.
Pada November 2017, Mahkamah Sesyen Ipoh memerintahkan Razman membayar RM200,000 kepadaDatuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkaitan dakwaan bekas Menteri Besar itu menyokong konsep negara sekular.
Beberapa bulan sebelumnya, Razman dilapor membuat permohonan maaf secara terbuka atas tindakannya mengaitkan penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) dengan Parti Komunis Malaya (PKM).
Mahkamah Tinggi George Town pada 18 Mac lalu pula memerintah Razman membayar ganti rugi RM250,000 kepada Lim Guan Eng kerana memfitnahnya menyokong larangan pekerja hotel memakai tudung.
Dalam tuntutan samannya, Guan Eng berkata, dakwaan Razman itu direka-reka bertujuan mencemarkan reputasinya dan menggambarkannya tidak menghormati Islam dan budaya Melayu.
Sementara itu, Kamil berkata pimpinan PAS seharusnya menegur Razman agar tidak lagi membuat dakwaan seumpama itu.
Kamil gesa pemimpin PAS tegur Razman |
"Pemimpin PAS harus buat teguran keras kepada Razman untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama. Dia harus bertaubat daripada sikap yang tidak mencerminkan akhlak Islam," katanya lagi.
0 Comments