PAKATAN HARAPAN membuat satu laporan polis terhadap Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang didakwa membuat tuduhan berunsur fitnah kepada gabungan itu dalam satu majlis di Temerloh baru-baru ini.
Setiausaha DAP Kuala Lumpur, Lim Lip Eng memfailkan laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dengan memetik laporan Malaysiakini bahawa Abdul Hadi mendakwa HARAPAN terbabit menyokong komunis, anti-tuhan dan LGBT.
“(Dia berkata) Parti dalam HARAPAN ini macam-macam jenis ada. Yang komunis ada. Yang anti-tuhan pun ada. Yang liberal pun ada. LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) pun ada. Yang bagi rasuah pun ada. Yang terima rasuah pun ada.
“(Katanya) Semua ada dalam parti mereka. Ini menjadi satu masalah. PH ini ‘gelap’. BN ‘keruh dan kelabu’. Jadi kita ambillah yang jernih. Yang baik iaitu PN,” katanya Lip Eng memetik laporan itu.
Sehubungan itu jelasnya, polis wajar menyiasat pemimpin PAS itu kerana mengeluarkan kenyataan bersifat tuduhan tanpa bukti yang boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Dia (Hadi) sekali lagi menuduh HARAPAN sebagai komunis. Sejak Parlimen dibubarkan pada 10 Okt lalu, ini adalah kali keempat presiden PAS itu menuduh HARAPAN sebagai komunis. Selain itu dia juga menuduh HARAPAN sebagai anti- raja.
“Kali ini, dia (Hadi) menambah HARAPAN sebagai anti-tuhan. Ini semua tuduhan yang amat serius.
“Minggu lepas saya ada cabar beliau untuk membuat laporan polis sekiranya segala tuduhannya itu adalah benar, tetapi Hadi tidak berani buat laporan polis,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Ketua AMANAH Kepong, Zainal Abidin Rahmat dan Timbalan Ketua Parlimen Parti MUDA Kepong, Mohamad Momen Abdul Aziz.
Abdul Hadi terkenal dengan kenyataan yang berubah-ubah apabila menyampaikan ucapan di hadapan penyokongnya.
Pada Pilihan Raya Kecil Teluk Intan pada 2014, Abdul Hadi menyeru penyokong PAS menyokong calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud.
Abdul Hadi juga berkata, PAS mengerahkan seluruh jenteranya menyokong Dyana bagi mengenang jasa besar DAP kerana membela PAS di Kelantan pada tahun 1978 ketika berlaku darurat di negeri itu.
“Pada tahun 1978 kami telah dibuang dari UMNO dan mereka berpakat bersama MCA serta MIC untuk menumbangkan PAS di Kelantan.
“Ketika itu dibuat semacam rusuhan di Kelantan, mereka membakar tayar dan beberapa kedai.
“Maka undang-undang darurat dikenakan di Kelantan dan DAP membela kami serta menentang kuat pelaksanaannya,” katanya.
Abdul Hadi pada 2019 ketika Pilihan Raya Tanjung Piai menggesa penyokong PAS menyokong calon MCA, Wee Jeck Seng bagi memastikan Muafakat Nasional turut diterima kaum lain. PAS pimpinannya ketika itu bekerjasama dengan UMNO yang merupakan sekutu MCA dalam BN.
Namun kini setelah berlakunya 'langkah Sheraton' PAS memilih bersama Perikatan Nasional, bekerjasama dengan parti Gerakan yang mencabar kesahihan Enakmen hudud dibawakan kerajaan PAS negeri Kelantan dalam sidang DUN.
Sementara itu tambah Lip Eng, tohmahan yang dilempar Hadi kepada HARAPAN adalah penipuan semata-mata dan tidak wajar digunakan sebagai bahan kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Kenyataan Abdul Hadi berubah ikut keperluan |
“Tetapi PAS lebih fokus untuk memainkan isu bangsa, agama dan komunis. Maka laporan polis hari ini untuk meminta polis menyiasat tohmahan dan penipuan yang dibuat oleh Hadi,” katanya.
Menurutnya, kenyataan Hadi jelas berbentuk provokasi yang boleh menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
0 Comments