Ismail nak guna alasan banjir selamatkan UMNO-BN?


PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoal enyataan Ismail Sabri Yaakob tentang keperluan untuk menghentikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika berlaku banjir besar.

Melalui hantaran di laman Facebooknya, Anwar berkata kenyataan Ismail bukan sahaja telah membuktikan pandangan dan kegusaran ramai ada kemungkinan risiko banjir ketika pilihan raya diadakan.

“Sebab tu kita kata dengar pandangan orang, pandangan pakar. Jangan jadi Perdana Menteri yang lemah sehingga kena ikut arahan UMNO. Kalau pun arahan baik tak apa.

“Kamu dah buat silap besar. Setelah penamaan calon baru terfikir ada kemungkinan ini,” katanya calon Perdana Menteri HARAPAN itu.

Ismail dalam laporan media dipetik berkata, terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika mahu menghentikan PRU15, seandainya negara dilanda banjir besar.
 
Jelasnya sekiranya keadaan di luar jangka, beliau mungkin akan memanggil semua Setiausaha Kerajaan Negeri dan sebagainya untuk berbincang.
 
"Kita akan bincanglah dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Jawatankuasa Pengurusan Bencana akan berbincang, SPR pun boleh beri pandangan, kalau SPR nak menghentikan pilihan raya itu terserah kepada SPR," katanya.

Menurut Anwar, kenyataan itu juga memberi gambaran seolah-olah Ismail mahu mencari alasan untuk 'menyelamatkan'UMNO dan Barisan Nasional (BN) dari dikalahkan sekali lagi dengan menggunakan alasan banjir.  

“Apa keputusan itu berdasarkan data dan kenyataan yang tentunya kita terpaksa dukung? Atau angka kemungkinan disuarakan itu dilihat prestasi UMNO dan BN itu dah mula ranap, dah mula merudum?

"Ini keadaan yang diusulkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri. Maknanya mencari helah," jelasnya yang mengharapkan agar banjir besar tidak berlaku.

Walau bagaimanapun tambah Anwar, sekiranya negara terpaksa menghadapi darurat akibat bencana banjir, maka rakyat berhak untuk menilai dan menghukum Ismail Sabri atas kecuaiannya dalam membuat dasar dan melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya.

Banyak pihak bantah PRU musim tengkujuh
Kenyataan Ismail turut menarik perhatian bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Charles mempersoalkan mengapa Ismail tidak mengadakan perbincangan dengan SPR berhubung pelan kecemasan pilihan raya umum sekiranya banjir melanda sebelum bertindak membubarkan Parlimen.

Sedangkan Ismail jelasnya sebelum ini mendakwa kerajaan sudah bersedia menangani banjir.

“Kini, beliau (Ismail) berkata akan memulakan perbincangan dengan SPR bagi mengenalpasti alternatif sekiranya banjir melanda. Mengapa tidak bincang lebih awal?” soalnya dalam kenyataan.




 

Post a Comment

0 Comments