PAKATAN HARAPAN (HARAPAN) berikrar akan melaksanakan pembangunan yang menyeluruh dan berdasarkan keperluan rakyat, kata timbalan setiausaha agung KEADILAN, Dr Sathia Prakash.
Menurutnya, corak pelaksanaan itu berbeza dengan apa yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) sebelum ini apabila tidak berdasarkan kepada kehendak serta keperluan seseorang menteri dan kroni.
Sathia Prakash mendakwa, semasa Malaysia ditadbir oleh BN, projek dijalankan secara terpilih, menyaksikan hanya kawasan diwakili menteri dan kroni mereka sahaja mendapat tumpuan pembangunan.
"Saya mengambil Hulu Selangor sendiri sebagai contoh. Kawasan parlimen ini seluas 1,700km persegi, penduduknya pula lebih 250,000 orang tetapi tidak ada hospital pakar.
"Sebaliknya di Rembau kawasannya lebih kurang 400km persegi sahaja. Penduduk pun jauh lebih rendah berbanding Hulu Selangor, namun sudah pun ada hospital pakar," kata calon HARAPAN Hulu Selangor itu ketika menghadiri forum bersama wartawan India Malaysia semalam.
Keadaan itu,jelasnya memaksa penduduk Hulu Selangor perlu ke Hospital Selayang untuk sebarang kes kecemasan.
"Ini yang saya katakan tidak adil dan pembangunan terpilih oleh kerajaan BN. Ini perlu dihentikan," katanya sambil menjelaskan dia tidak ada masalah untuk Rembau memiliki hospital pakar namun mempersoalkan mengapa Hulu Selangor dipinggirkan.
Membuat contoh lain, beliau turut berkata Khairy Jamaluddin - yang juga menteri kesihatan - berjanji untuk membawa pembangunan secara besar-besaran ke Hospital Sungai Buloh jika menang kerusi berkenaan.
Bagaimanapun menurut Sathia Prakash, sebagai menteri kesihatan Khairy tidak membuat sebarang janji kepada hospital kawasan parlimen lain yang ada dalam keadaan uzur.
"Sektor perubatan ini baru salah satu contoh yang ada. Kita juga boleh nampak 'pembangunan terpilih' ini di semua sektor seperti pendidikan, pusat sosial kepada belia, kebajikan, sumber manusia dan lain-lain," katanya.
Selain memastikan pembangunan dapat dijalankan tanpa pilih kasih, beliau turut berkata bahawa HARAPAN akan mengawal selia segala proses projek pembangunan terutama membabitkan aspek kewangan bagi mengekang ketirisan.
"Saya terkejut apabila diberitahu oleh beberapa rakan bahawa pada amnya kos pembinaan sebuah bilik darjah untuk sekolah Tamil pada zaman BN adalah antara RM150,000 hingga RM200,000 dan ia tidak termasuk peralatan seperti kerusi dan meja.
"Tetapi di sebalik dana yang besar diperuntukkan bagi pembinaan sekolah Tamil, kualiti pembinaan kurang memuaskan. Ini terjadi kerana sebahagian besar dana itu masuk ke poket kroni akibat tidak ada mekanisme semak dan imbang.
"Pemimpin MIC yang kononnya penyelamat sekolah Tamil tidak berani melawan bos mereka iaitu pemimpin Umno," katanya dipetik laporan Malaysiakini.
Sathia Prakash akan berdepan pertandingan enam penjuru pada pilihan raya kali ini.
Pemilik rangkaian klinik kesihatan SP care itu akan dicabar Naib Presiden MIC, T Mohan; Harumaini Omar (Pejuang), Haniza Mohamed Talha dari Parti Bangsa Malaysia (PBM); Hasnizan Harun (PN) dan Azlinda Baroni (bebas).
Sementara itu ketika ditanya media mengenai dakwaan BN dan PN bahawa HARAPAN akan menjadi boneka DAP jika berjaya tubuh kerajaan selepas PRU ke-15 nanti menegaskan naratif dimainkan setiap kali pilihan raya itu tidak benar. HARAPAN akan pastikan pembangunan sekata
HARAPAN tegasnya tidak akan sesekali mencabar hak dan keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan kerana Ssebarang dasar kerajaan HARAPAN mesti berlandaskan kepada menjaga hak orang Melayu dan sensitiviti agama Islam.
0 Comments