Cantas calon dalam Umno sebab nak 'tunjuk kuasa' ?

 


BEBERAPA hari sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan, Barisan Nasional dilihat terus bergolak susulan isu calon mewakili gabungan itu.

Ahli akar Umbi Umno di Arau dan Jempol sebelum ini dilapor menutup Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan menurunkan bendera gabungan itu sebagai protes, kini sayap wanita gabungan itu pula menyatakan rasa tidak puas hati dengan senarai calon dipertaruhkan BN.

Pengerusinya, Noraini Ahmad melahirkan kekecewaannya susulan tindakan pucuk pimpinan gabungan itu yang mengingkari sasaran awal 30 peratus calon wanita seperti dijanjikan sebelum ini.

"Saya dan kepimpinan Wanita BN akan terus tuntut supaya lebih ramai calon-calon wanita dapat diketengahkan dalam enam pilihan raya negeri yang akan diadakan pada masa akan datang," katanya

Isu mengenai calon wanita turut disuarakan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas Mastura Mohd Yazid

Melalui hantaran di Facebook dia mempersoal mengapa tidak seorang pun pimpinan wanita dari parti itu dicalonkan di Perak atau Negeri Sembilan

"Janji 30 peratus calon Wanita?? (Namun) Tak seorang pun Wanita UMNO dicalonkan untuk kerusi Parlimen di negeri Perak dan Negeri Sembilan," tulisnya.

Mastura antara beberapa nama dalam Kabinet kerajaan yang digugurkan sebagai calon PRU15.

Selain Mastura, beberapa pemimpin parti itu yang dianggap rapat dengan perdana menteri dan berada dalam kabinet Ismail Sabri Yaakob turut didakwa telah 'dicantas'

Antara menteri yang digugurkan adalah Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi); Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa (Ketereh); Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim (Arau); dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Adham Baba (Tenggara).

Timbalan menteri yang digugurkan pula adalah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar); Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ahmad Hamzah (Jasin); Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,  Ismail Abdul Mutalib (Maran); dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak dicalonkan setelah digantung keahlian kerana mengkritik pimpinan parti itu.

Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang turut berada dalam kabinet Ismail Sabri dipindahkan dari kerusi disandangnya dan diarah bertanding di Kerusi Sungai Buloh yang dilihat sukar untuknya.

Balas dendam?

Sesetengah penganalisis percaya muslihat Ahmad Zahid berhubung senarai calon PRU itu sebenarnya boleh memakan diri.
 
Pemimpin yang digugurkan boleh cuba mensabotaj pencalonan pengganti mereka dengan bertanding sebagai calon bebas atau mewakili parti lain.

“Apabila calon yang digugurkan memilih untuk mensabotaj dan membalas dendam terhadap parti, UMNO mungkin dan boleh kehilangan undi daripada penyokong mereka sendiri,” kata Mohd. Azizuddin Mohd Sani, profesor politik di Universiti Utara Malaysia.

Media dalam laporannya berkata Shahidan dan Zahidi yang digugurkan Umno akan terus bertanding dalam PRU kali ini atas tiket gabungan lain.

Profesor sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Lau Zhe Wei dipetik laporan BenarNews pula berkata, senarai calon BN menunjukkan Zahid sedang menunjukkan kuasanya dan bertindak "membalas dendam" terhadap mereka yang menyokong Ismail Sabri berbanding dirinya.

"Ahmad Zahid jelas mencantas mereka yang tidak menyokongnya tetapi beliau tidak berani menggugurkan kesemuanya, jadi mereka yang tidak bertindak melampau akan kekal bersamanya tetapi mereka yang melampau ... akan dicantas.

Benarkan Zahid sedang 'tunjuk kuasa' dalam Umno


“Memenangi kerusi masih penting bagi Ahmad Zahid. Sebabnya, beliau pernah secara terbuka menyatakan bahawa kes mahkamahnya bergantung kepada siapa yang menang. Jadi, saya tidak fikir beliau mahu mengorbankan kerusi semata-mata dengan menggugurkan mereka ," kata Lau dipetik.


Layan macam sampah

Tindak tanduk Zahid turut dipersoal bekas Ahli Parlimen Langkawi yang menganggap presiden Umno itu melayan Umno bahagian Langkawi seperti sampah.

"Presiden tidak pilih seorang pun daripada lima nama yang kami cadangkan, tetapi pilih orang luar yang bukan anak jati Langkawi.

"Perwakilan bahagian rasa kami macam sampah di mata presiden," katanya menurut Malaysiakini.



Post a Comment

0 Comments