Dr Dzulkefly mahu teruskan tradisi 'hambakan' diri untuk rakyat


MANTAN
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang sebelum ini memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini mengubah keputusan atas syor pengundi Kuala Selangor dan kehendak partinya.

Di petik laporan media, Dzulkefly berkata beliau diamanahkan pucuk pimpinan Parti Amanah Negara untuk mempertahankan kerusinya dari BN yang mempertaruhkan Tengku Zafrul Aziz.

"Saya kira wajar untuk saya mentaati pimpinan parti dan juga syor dari pengundi-pengundi saya yang memohon supaya saya terus pertahan kerusi ini.

"Jadi, saya sangat teruja dan mereka mahukan lagi khidmat saya sejak 2008 lagi sehingga kini. Ini kelebihan yang tiada pada Tengku Zafrul,” katanya selepas Majlis Pengenalan Calon-calon Parlimen Pakatan Harapan Selangor di Shah Alam.

Pada PRU lalu, pakar Toxicology yang juga bekas pensyarah fakulti Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) itu menewaskan calon daripada BN dan Pas dengan majoriti 8,498 undi.

Ketika ditanya kemampuannya untuk mengekalkan kemenangan dicatatkan itu, Dzulkefly berkata sokongan rakyat Parlimen itu kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) positif buat masa ini.

"Soalan itu masih menjadi teka-teki, namun kami sudah membuat penyelidikan yang memberi petunjuk positif. Persoalan besar adalah Undi18, inilah yang menjadi penentu kerana pertambahannya lebih 33,000," katanya.

Pada Mei lalu, Dzulkefly  menyatakan hasrat untuk mengundur diri dan memberi laluan kepada calon muka baharu di kerusi parlimen yang disandangnya.

Namun pucuk pimpinan AMANAH meminta beliau pertahankan kerusi Kuala Selangor selepas Umno diura-urakan mempertaruhkan Menteri Kewangan.

Selain Zafrul, Dzulkefly dijangka bakal menentang calon Perikanan Nasional (PN) Muhammad Rashid Mohd Kassim dan calon Gerakan Tanah Air (GTA) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jeram, Mohd Shaid Rosli.

Dalam pada itu Dzulkefly mengingatkan pengundi bahawa mustahak difahami, ‘Pertarungan’ PRU-15 ini akhirnya adalah ‘penentuan’, sama ada Malaysia akan ‘Mara Ke Hadapan’ atau ‘Mundur Kebelakang’.

“‘Mara Kehadapan’ bermaksud Kerajaan kompeten yang benteras amalan rasuah dan salah-guna kuasa bagi membangun ekonomi mapan serta berdaya-saing dan mengeratkan hubungan antara kaum, agama- budaya, buat menstabilkan politik negara.

‘Mundur Kebelakang’ bererti mengizinkan ‘gerombolan’ yang sarat dengan pelbagai tabiat rasuah dan salah-guna kuasa, kembali memerintah secara dominan.

“Menjadi harapan saya, majoriti rakyat sudah bersedia untuk ‘Maju Ke Hadapan’.

Dikalangan penduduk, Dzulkefly dikenali sebagai pemimpin yang sering mendekatkan diri dengan rakyat.

Dr Dzul mahu kekal tradisi dekat dengan rakyat
Ketika ditanya apa yang akan dilakukan kepada pengundi kawasan Kuala Selangor sekiranya diberi mandat sekali lagi pada PRU akan datang, Dzulkefly berkata beliau akan meneruskan tradisi memperhambakan diri, menyantuni dan membela rakyat.

“Saya berikrar untuk meneruskan tradisi ‘memperhambakan’ diri, menyantuni dan membela rakyat, tanpa prejudis atau diskriminasi, untuk warga Kuala Selangor serta mempastikan pembangunan Parlimen Kuala Selangor khasnya, dijayakan,” kata beliau.

Post a Comment

0 Comments