Bersatu Jasin lumpuh, pimpinan tertinggi umum keluar parti


JENTERA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jasin dilapor lumpuh susulan tindakan sebahagian besar pucuk pimpinan parti itu mengumumkan keluar parti hari ini.

Timbalan Ketua Bahagian Jasin, Mustaffar Ahmad dipetik berkata, keputusan itu dibuat kerana mereka meragui kedudukan serta hala tuju parti Bersatu di bawah kepimpinan Mohd Yadzil Yaakub.

“Mesyuarat Bersatu Bahagian Jasin tidak pernah berjaya dilaksanakan termasuklah Persidangan Agung Tahunan Bahagian Jasin, jadi bagaimana kelemahan pentadbiran serta kegagalan di peringkat bahagian ini dilihat boleh memperkasakan Bersatu Melaka?.

“Kegagalan mengadakan program serta aktiviti parti bersama masyarakat diperingkat bahagian dan negeri adalah bukti nyata kegagalan beliau memimpin Bersatu Melaka,”katanya pada sidang akhbar di Ayer Keroh.

Turut mengumumkan tindakan keluar parti adalah sayap Srikandi Bersatu di kesemua 24 cawangan membabitkan 320 ahli di Jasin, cawangan di bawah Bahagian Hang Tuah Jaya dan Alor Gajah .

Mengulas lanjut beliau berkata, Ketua Badan Pimpinan Bersatu itu juga dilihat gagal mempertahankan kerusi-kerusi Bersatu yang berpeluang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sebaliknya dilepaskan kepada rakan komponen seperti kejadian di Parlimen Tangga Batu dan Parlimen Jasin.

Ketua Srikandi Bersatu negeri Melaka, Azalina Abdul Rahman dalam sidang media sama memberitahu, keputusan keluar parti dan melepaskan semua jawatan disandangnya adalah kekecewaan yang dizahirkan berhubung tindakan Bersatu mengenepikan pelapis sendiri sebagai calon pada PRU15.

“Menghairankan calon PRU15 bagi Perikatan Nasional (PN) ini bukanlah ahli kepada mana-mana parti komponen tetapi telah diangkat dari parti musuh sendiri yang kecewa namanya tidak berada dalam senarai calon parti mereka.

Akar umbi tak yakin kepimpinan Mohd Yadzil
“Dalam keghairahan Perikatan Nasional (PN) untuk menang, tergambar golongan wanita dipinggirkan yang mana jumlah calon wanita tidak sampai sembilan peratus daripada jumlah kedudukan kerusi di Semenanjung,” katanya.


Katanya, dengan keputusan itu Srikandi Bahagian Jasin telah terbubar apabila keseluruhan struktur sepakat meletakkan jawatan, begitu juga struktur jawatan lantikan di peringkat negeri. 

Post a Comment

0 Comments