Anwar yakin BN-PN tak mampu kemuka manifeso lebih baik


PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Barisan Nasional (BN) mahupun Perikatan Nasional (PN) tidak mampu menyediakan manifesto lebih baik berbanding HARAPAN.

Dalam ucapannya ketika pelancaran Tawaran HARAPAN pada Rabu, Anwar berkata kedua-dua gabungan itu bukan sahaja gagal dalam pemerintahan mereka, malah terpalit isu ketirisan dan pengelolaan pentadbiran yang tidak baik.

Itu jelasnya telah meranapkan kepercayaan rakyat terhadap kedua-dua gabungan itu.
 
“Saya tidak fikir UMNO dan BN boleh kemuka cadangan untuk pertahan prinsip tatakelola yang baik sebab terlalu terpalit dengan isu rasuah dalam kalangan mereka.

“PN pula gagal sepanjang pemerintahannya menghadapi Covid-19 termasuk melaksana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) paling lama, juga mencatat kematian tinggi.

“Isu vaksin, perubatan malah perolehan yang tak telus masih tak dijawab sampai hari ini di parlimen. Ini menunjukkan ketidakupayaan kedua dua parti beri pilihan yang mampu meyakinkan rakyat,” katanya.

HARAPAN dalam manifestonya mengumumkan 39 tema menarik untuk pengundi sekiranya diberi mandat mentadbir negara.

Tumpuan meliputi memperkenal Akta Penggal Tetap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), biasiswa pendidikan untuk pelajar berpendapatan rendah dan elaun khas buat individu hilang kerja.

Butiran lanjut azam gabungan tersebut boleh diakses menerusi pautan https://kitaboleh.my/.

Sementara itu Anwar ketika mengulas lanjut mengenai manifesto dikemukakan berkata ia adalah usaha menterjemah idea dan merangka kerangka besar iaitu perubahan yang didambakan rakyat namun tonggaknya perlu seiring dengan tatakelola baik.

BN dan PN terkait kegagalan dalam pentadbiran
Ia jelasnya tidak mungkin dapat dilaksana tanpa pemerintahan yang tunduk kepada rukun hukum yang baik.

“Untuk selamatkan negara dari kemelut politik tak berkesudahan, saya merayu agar rakyat memberi kesempatan sebaiknya supaya HARAPAN punyai majoriti jelas dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15),” tambah calon perdana menteri itu lagi.

Post a Comment

0 Comments