Anwar ada bukti sokong dakwaan tentera di Bera undi awal


PENGERUSI 
Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mempunyai bukti berhubung dakwaannya bahawa ada anggota tentera khususnya dalam kawasan parlimen Bera di Pahang sudah mengundi untuk Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.

Pada sidang media di Kuching, Anwar berkata, beliau boleh membuktikan dakwaan dikemukakannya dan mahu siasatan dilakukan.

“Saya sudah buat kenyataan terbuka dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu saya mengemukakan bukti. Jadi, saya akan beri kepada mereka,” katanya.

Anwar dalam satu majlis ramah mesra di Kuala Nerus, Terengganu pada Jumaat turut mendakwa anggota tentera terbabit disisipkan RM300 untuk berbuat demikian.

“Saya dapat maklumat sahih bahawa anggota tentera, undi pos telah mula mengundi pagi ini, (dan ia) melanggar peraturan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), terutama untuk (kawasan) parlimen Bera dan (mereka) dibayar RM300,” dakwa Anwar.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana SPR boleh izinkan kalau mereka tahu undi awal yang sepatutnya 15 November.

"Bagaimana (undi awal) boleh dijalankan hari ini, saya bimbang kerana unsur wang, unsur tekanan (dan) unsur penipuan yang berlaku kerana ada bukti," katanya lagi.


Perdana menteri sementara yang juga penyandang kerusi Parlimen Bera, Ismail Sabri Yaakob, membidas dakwaan Anwar dengan berkata dakwaan itu “berniat jahat”.

Dia kemudia mendesak Anwar menarik balik dakwaan itu dan memohon maaf kepada tentera.

Ismail yang perlu minta maaf kepada tentera
Anwar ketika mengulas desakan Ismail Sabri berkata, Naib Presiden Umno itu yang sepatutnya meminta maaf kepada tentera.

“Dia (Ismail Sabri) jawab Anwar kena minta maaf dengan tentera, ini Mail (Ismail Sabri) yang kena minta maaf dengan tentera itu kamu, kerana kapal tak siap, kapal terbang helikopter tak sampai, wang untuk tentera itu disonglap dan disakau, kamu (Ismail Sabri) yang mesti minta maaf,” katanya dalam satu majlis lain di Kuantan Pahang malam semalam.

Post a Comment

0 Comments