102 NGO Melayu pula nyata sokongan mahu Anwar jadi PM


 SEBANYAK 102 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Jaringan NGO Melayu Islam hari ini tampil secara terbuka menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri ke-10.

Wakil kumpulan itu, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Anwar adalah pemimpin paling layak untuk dipilih bagi memimpin Malaysia keluar daripada krisis ekonomi, kebejatan tadbir urus, membanteras rasuah, mengatasi sentimen perkauman serta membanteras penyelewengan kuasa.

"Kami menerima perjuangan Anwar yang sentiasa menyuarakan soal akauntabiliti terhadap kepincangan pengurusan khazanah negara oleh golongan elit dengan amalan kronisme dan nepotisme yang berleluasa.

"Anwar juga secara konsisten menyuarakan isu kemiskinan rakyat merentas kaum dan nasib golongan bawahan dalam kalangan petani, nelayan, pekebun, pesawah, buruh kasar dan peniaga kecil.

"Golongan bawahan ini terus-menerus terhimpit dengan pendapatan yang rendah dan kualiti hidup yang tertekan," kata Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) itu pada sidang media di Bangi hari ini.

Kumpulan itu turut disertai Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Aman (SUARA), Pertubuhan Ihya Ulum Munawwrah, Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Ikatan Ilmuwan Islam Mengenai Dasar dan Tadbir Urus dan Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia, 58 tokoh akademik, agamawan dan aktivis politik.

Sementara itu tambah Mohd Azmi, sokongan agar pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu memimpin negara adalah berdasarkan pengalaman luas Anwar dalam pengurusan kewangan negara.

Ia jelasnya terbukti ketika Anwar menjawat jawatan Menteri Kewangan selama lapan tahun bermula 1991 hingga 1998 sehingga diiktiraf di peringkat dunia.

"Sebagai Menteri Kewangan, Anwar berjaya mengatasi isu hutang negara serta menangani isu belanjawan negara dengan menghasilkan bajet lebihan selama lapan tahun berturut-turut.

"Kecemerlangan perkhidmatan beliau juga sangat diperakui sebagai ahli Parlimen dan pelbagai jawatan dalam kerajaan seperti Menteri Belia dan Sukan, Pertanian, Pendidikan, Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri," jelasnya.

Mereka sementara itu turut menghargai penegasan Anwar untuk mempertahankan peruntukan Perlembagaan Persekutuan bagi melindungi kedudukan Islam, hak istimewa Bumiputera, kedudukan bahasa Melayu dan Raja-Raja Melayu.
 
Datuk Hadzir Md Zain yang turut hadir pada sidang media pula berkata, sekiranya dilantik sebagai perdana menteri kelak, mereka mengharapkan Anwar segera mengatasi masalah ketirisan yang berlaku dalam pentadbiran negara.

Anwar harapan untuk selamatkan negara
"Saya berkhidmat selama 34 tahun sebagai penjawat awam, banyak masalah ketirisan. Contohnya peruntukan dalam bajet diumumkan besar, tetapi yang sampai kepada rakyat sangat kecil," dakwanya.

Sebagai rekod, Selain 120 NGO tersebut, Anwar sebelum ini turut menerima sokongan terbuka sekumpulan lebih 70 orang Profesor Melayu yang menggelar diri mereka sebagai G70.

Profesor Datuk Dr Ir Wan Ramli Wan Daud dalam sidang media semalam berkata, sokongan diberikan itu berdasarkan kredibiliti dan rekod prestasi Anwar yang cemerlang yang diyakini mampu membawa negara keluar dari masalah sekaligus meningkatkan imej Malaysia di mata dunia.

Post a Comment

0 Comments