Tumpu bantu banjir, negeri diterajui HARAPAN tak bubar DUN tahun ini


KERAJAAN
negeri yang diterajui Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak akan membubarkan dewan undangan negeri masing-masing jika parlimen dibubarkan bagi memberi laluan untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dalam tempoh terdekat.

Pengerusinya, Anwar Ibrahim berkata, Selangor bersama Negeri Sembilan dan Pulau Pinang sebaliknya akan memfokuskan kebajikan rakyat, termasuk membuat persiapan menghadapi banjir yang berkemungkinan berlaku susulan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pertengahan November dan memburuk pada Disember ini.

“Keputusan mesyuarat Majlis Presiden hari ini (Rabu), ketiga-tiga negeri yang dipimpin HARAPAN akan menumpukan perhatian menangani permasalahan banjir dan meringankan beban mangsa yang terpaksa menghadapi bencana banjir.

"Kita tidak harus menambah derita dan penderaan kepada rakyat yang terpaksa mengharungi masalah banjir

“Mereka tidak akan mengadakan pilihan raya sehingga selesai isu banjir," jelas Anwar selepas mesyuarat yang turut dihadiri  Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan, Amirudin Shari serta Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow itu.

Majlis Presiden dalam kenyataan media yang disiarkan memaklumkan bahawa keputusan itu berdasarkan pendirian kerajaan negeri terbabit dan ramalam Jabatan Metereologi Malaysia berhubung perubahan monsun.

"Majlis Presiden mengambil maklum laporan Jabatan Metereologi yang berkata bahawa fenomena La Nina dan monsun Timur Laut hingga ke awal tahun depan bakal menyaksikan jumlah taburan hujan yang tinggi serta kemungkinan berlaku hujan lebat dan banjir di kebanyakan negeri.

"Turut mengambil maklum bahawa Kerajaan-Kerajaan Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang telah mempertingkat tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi musim banjir di negeri masing-masing sesuai dengan prinsip mengutama nasib rakyat berkait nyawa dan harta benda.

"Oleh itu, Majlis Presiden menerima pendirian Menteri-Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan serta Ketua Menteri Pulau Pinang," kata kenyataan itu.

Sementara itu dipetik Malaysiakini,, Anwar ketika ditanyakan apakah gabungan itu merasa bimbang peratus keluar mengundi menurun jika pilihan raya itu tidak dijalankan serentak di tiga negeri terbabit, Anwar berkata, ada hal yang lebih membimbangkan mereka.

Kebajikan rakyat diletak sebagai keutamaan
"Saya lebih risau terhadap penderitaan rakyat semasa musim banjir ini.

"Jika kita sibuk dan bimbang tentang jumlah keluar orang mengundi dan keputusan pilihan raya, (bermakna) anda menghina rakyat.

"Kita tak boleh berterusan melakukan hal itu," katanya.


Post a Comment

0 Comments