Tiada pilihan, rakyat mesti bangkit selamatkan negara


BEKAS Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari menggesa rakyat di negara ini bersatu hati menyelamatkan negara daripada politik wang dan amalan rasuah.

Dalam satu kenyataan Adly yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Melaka berkata, langkah itu perlu dilaksana sekiranya mahu Malaysia menjadi sebuah negara maju, kaya serta memiliki kehidupan yang harmoni.

Mengulas mengenai pembubaran Parlimen ketika negara diramal berdepan kemungkinan banjir besar susulan perubahan monsun, beliau berkata ia cukup untuk menggambarkan sikap pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mengutamakan kuasa berbanding keselamatan rakyat dan negara.

Malah beliau turut mendakwa tindakan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob membubarkan parlimen jelas menggambarkan kelemahannya sebagai pemimpin sehingga bertindak mementingkan desakan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berbanding keselamatan rakyat.

“Ahmad Zahid memerlukan pilihan raya umum diadakan bagi menyelamatkan beliau daripada pendakwaan rasuah yang sedang berjalan sekiranya BN menang. Parti itu dijangka turut memohon pengampunan buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ini akan memberi gambaran buruk buat Malaysia di mata dunia selain turut menjejaskan ekonomi negara. Bersama kita berusaha menyelamatkan negara dengan membawa harapan baru buat Malaysia,” katanya seperti dilapor media.

Banyak pihak sebelum ini mempersoal gesaan Umno supaya pilihan raya disegerakan termasuk ketika musim banjir.

Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli menyifatkkanya sebagai satu 'kerja gila'.

"Perkiraan 'dia' hanyalah untuk kembali ke Putrajaya. Dia tidak kisah orang nak tenggelam ke, rumah orang nak rosak ke, dia tidak kisah.

"Sepatutnya di tempat lain, kalau kita tahu bencana akan tiba, seluruh negara tumpu kepada usaha nak bantu orang,"katanya pada satu program ceramah di Tapah.

Menurutnya lagi, pilihan raya ketika negara berdepan ancaman banjir bukan sahaja menyusahkan pengundi malah kakitangan awam termasuk pasukan keselamatan yang telah melakukan persediaan banjir.

Beban kakitangan kerajaan bertambah
"Soalnya adalah pegawai kerajaan seperti tentera, polis, pegawai-pegawai pejabat daerah. Mereka ini yang sebenarnya bermesyuarat setiap minggu untuk persediaan banjir.

"Kalau bubar (Parlimen) masuk musim tengkujuh, segala tumpuan dan persediaan akan beralih kepada PRU kerana mereka juga yang akan mengendalikan pilihan raya," katanya.


Post a Comment

0 Comments