SULTAN PERAK, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dilapor belum berkenan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan selaras pembubaran Parlimen ke-14.
Perkara itu dinyatakan Menteri Besar, Saarani Mohamad selepas menghadap Sultan Perak di Istana Kinta pada 2.08 petang semalam.
"Belum dapat perkenan (Sultan Nazrin) lagi untuk DUN dibubarkan.
"Setelah Tuanku berkenan untuk buat keputusan, maka Tuanku akan menitahkan saya menghadap (sekali lagi)," katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di Ipoh.
Pada Isnin, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen dan menggesa kerajaan negeri membubarkan DUN masing-masing supaya pilihan raya negeri dan persekutuan diadakan serentak.
Walau bagaimanapun tindakan Ismail itu dikritik ramai susulan kebimbangan pilihan raya akan bertembung dengan bencana banjir.
Perak sebelum ini dilapor sebagai yang terawal mendapat "janji temu" untuk menghadap Sultan bagi mendapatkan perkenan membubarkan DUN.
Setakat ini, hanya DUN Pahang dan Perlis di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) akan dibubarkan untuk mengadakan pilihan raya bersekali dengan pemilihan di peringkat Parlimen.
DUN Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak yang baharu melalui pilihan raya negeri tidak akan dibubarkan kerana belum mencapai tempoh matang.
Sultan Nazrin bakal pertimbang dahulu |
Manakala PAS akan membuat keputusan dalam masa terdekat bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu.
0 Comments