Sah, HARAPAN kerjasama dengan MUDA hadapi PRU-15


PAKATAN HARAPAN
(HARAPAN) telah bersetuju membentuk kerjasama politik dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN yang dipengerusikannya di ibu pejabat KEADILAN di Petaling Jaya semalam.

Mengulas lanjut permohonan MUDA untuk menjadi sebahagian dari anggota parti gabungan itu sebelum ini, Anwar berkata hasrat itu tidak dapat direalisasikan buat masa ini memandangkan ia memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

"Kalau nak jadi ahli rasmi, kena melalui Pendaftar Pertubuhan (RoS).

"Jadi, saya tidak fikir RoS akan meluluskan apa-apa sekarang," kata kepada media.

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bulan lalu mengumumkan parti itu berhasrat menyertai HARAPAN sebagai antara parti komponen dalam gabungan itu bagi menghadapi PRU15 sekaligus mengelak pertembungan.

Mereka turut menyasarkan untuk bertanding di 15 kerusi Parlimen termasuk di Parlimen Muar, yang kini diwakilinya.

Jawatankuasa akan bincang langkah seterusnya
Sementara itu Anwar berkata satu jawatankuasa dibentuk bagi meneliti kerjasama itu akan meneruskan perbincangan bagi memutuskan soal kerusi dan logo.

"Seperti mana diumumkan, ia akan diteruskan dan ada jawatankuasa sedang berunding untuk meletakkan beberapa perkara bagi persefahaman bersama.

"Begitu juga berbincang seterusnya, kalau dipersetujui, tentang kerusi dan logo... dan kita tiada halangan," katanya.

Post a Comment

0 Comments