Skandal meriam: Rafizi pertahan dakwaan, dakwa ada cukup bukti


TIMBALAN PRESIDEN
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Rafizi Ramli bersedia mengemukakan bukti susulan laporan polis yang dibuat Timbalan Menteri Pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz terhadapnya.

Bercakap kepada media selepas menghadiri siri dialog pengundi muda Ayuh Malaysia di Sunway Damansara Technology semalam, Rafizi berkata Ahli Parlimen Tanah Merah dari parti Bersatu itu bebas membuat laporan polis susulan pendedahannya berkaitan tender pembelian aset meriam artileri jenis Self Propelled Howitzer (SPH) baru-baru ini.

Bagaimanapun tegas Rafizi beliau mempunyai dokumen dan bukti yang cukup jelas untuk mengaitkan Ikmal Hisham dengan syarikat MA Analytics Sdn. Bhd yang dikaitkan dengan tender tersebut.

“Saya pasti akan memberikan semua bukti, tidak mengapa. (Namun), isu tentang MA Analytics Sdn. Bhd. yang dikaitkan dia (Ikmal Hisham) dan keluarganya sudah wujud sejak lima atau enam bulan yang lalu.

“(Jadi), dokumen itu sudah tersebar sejak beberapa bulan yang lalu (dan ia) cukup jelas untuk dikaitkan (dengan Ikmal Hisham), cuma, tiada siapa yang mengambil (maklumat) itu,” katanya kepada pemberita.

Rafizi pertahan dakwaan dibuatnya
Ikmal Hisham membuat laporan polis melalui Setiausaha Sulit Kanan-nya susulan tindakan Rafizi memuat naik satu artikel dalam Facebooknya bertajuk ‘Batal Niat Surat Anugerah Kontrak Meriam SPH Kepada Syarikat Ada Kaitan Anak Menteri’ yang mengaitkan nama beliau dengan sebuah syarikat.

BACA: Rafizi dakwa MA Analytics ada kaitan dengan anak timbalan menteri

Artikel itu dakwanya adalah satu fitnah dan pembohongan yang bertujuan politik bagi mencemarkan nama baik beliau.

Post a Comment

0 Comments